ALOR SETAR: Sasaran Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk menjulang sekurang-kurangnya satu trofi musim ini ranap apabila tersingkir dari saingan Piala Cabaran 2023 setelah tewas 0-3 kepada Kuching City di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.
Kekalahan itu menyaksikan Sang Kenari tumpas secara agregat 0-4 setelah tunduk 0-1 di tempat lawan dalam pertemuan pertama, pada 19 September lalu.
Walaupun Kedah memulakan asakan seawal minit kedua melalui gerakan Amirbek Juraboev yang bergandingan dengan Fayadh Zulkifli dari sebelah kanan, namun ia gagal disambar Ifedayo Olusegun biarpun penjaga gol Kuching City, Wan Muhammad Azraie Wan Teh sudah tertewas.
Seakan terkejut dengan ‘gertakan’ itu, pelawat memperkemaskan permainan. Penyerang utama mereka, Abu Kamara mula menunjukkan belang apabila melepaskan rembatan deras yang hanya sedikit melepasi palang Sang Kenari pada minit ke-5.
Kamara kemudian membuatkan penyokong tuan rumah tergamam apabila membuka jaringan menerusi tandukan pada minit ke-10, setelah menerima bola hasil sepakan percuma kapten, Mohamad Alif Hassan.
Seakan dahagakan gol, Kamara sekali lagi mencemaskan penyokong tuan rumah menerusi rembatan leret dari luar kotak penalti menggunakan kaki kanan. Mujur penjaga gol Kedah, Kalamullah Al-Hafiz sempat merebahkan badan ke kanan bagi menepis bola itu.
Tuan rumah tambah tertekan apabila pertahanan mereka, Mohd. Akmal Md. Dzahir dilayangkan kad merah selepas dia melagakan kepalanya dengan kepala penyerang lawan, Pedro Henrique pada minit ke-32, setelah berlaku pertikaian antara mereka.
Memasuki babak kedua, tuan rumah cuba bangkit dengan melakukan serangan namun percubaan Amirbek tinggi melepasi palang biarpun dia tidak dicabar.
Minit ke-57, Kamara hampir menambah jaringan apabila bola tampanan pertahanan KDA FC, Bojan Ciger singgah tepat di kakinya dalam kotak penalti. Rembatannya bagaimanapun melepasi palang.
Pelawat mengukuhkan kedudukan pada minit ke-72 dengan gol kedua menerusi Pedro Henrique yang menerima hantaran lintang Petrus Shitembi.
Kemenangan Kuching City dimuktamadkan pada minit ke-88 menerusi gol ketiga oleh Pedro yang berseorangan dan tidak dikawal untuk menewaskan Kalamullah. – UTUSAN ONLINE