PETALING JAYA: Perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 menentang Tajikistan, Selasa ini bukan misi untuk membalas dendam, sebaliknya peluang Harimau Malaya memperkemaskan lagi pasukan menjelang Piala Asia 2023 di Qatar Januari depan.
Pemain sayap lincah kebangsaan, Faisal Halim berkata, kekalahan kepada Tajikistan dalam final Piala Raja Thai 2022 sudah dilupakan dan perlawanan ulangan pada Pestabola Merdeka adalah platform Harimau Malaya perbaiki kelemahan yang ada.
Pada Piala Raja Thai tahun lalu, Harimau Malaya tumpas kepada Tajikistan 0-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas keputusan penuh 90 minit menyaksikan kedua-dua pasukan seri 0-0.
Bagaimanapun, Faisal yang lebih popular dengan gelaran Mickey berkata, dia sedar harapan tinggi peminat untuk menyaksikan skuad negara menjulang piala Pestabola Merdeka terutama ketika Harimau Malaya beraksi di laman sendiri.

“Pada saya, perlawanan akhir menentang Tajikistan bukan satu perlawanan untuk Harimau Malaya membalas dendam tetapi saingan untuk kita kemaskan lagi pasukan dan bermain di tempat sendiri pastinya kita mahu menang.
“Saya juga berharap pada perlawanan akhir nanti semua pemain berada dalam tahap terbaik.
“Harap semuanya berjalan lancar mengikut taktikal ketua jurulatih, Kim Pan Gon,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan menentang India.
Kelmarin, skuad kendalian Kim Pan Gon membenam India 4-2 hasil jaringan Dion Cools, Arif Aiman Hanapi, Faisal dan La’Vere Corbin Ong, sekali gus menempah pertemuan dengan Tajikistan di pentas final, Selasa ini.
Mengulas tentang harapan penonton, pemain Selangor FC itu berkata, jangkaan tinggi peminat bola sepak terhadap Harimau Malaya membuatkan dia dan barisan pemain berdebar menanti perlawanan akhir.










