Jangan malukan Malaysia kalau rumput buat 'hal' lagi

Jangan malukan Malaysia kalau rumput buat ‘hal’ lagi

KEADAAN rumput padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang tercabut ketika Malaysia menentang India dalam perlawanan Pestabola Merdeka, minggu lalu. – MINGGUAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Memilih Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) untuk aksi Harimau Malaya menentang Kyrgyzstan pada 16 November ini hanya mengundang risiko untuk Malaysia dimalukan di mata ­dunia kerana kualiti padang teruk.

Dengan status perlawanan bertaraf dunia dan berintensiti tinggi, rumput padang di SNBJ tidak sesuai buat masa ini kerana permukaannya masih ‘lembut’, mudah terkopak dan boleh ­mengundang risiko kecederaan.

Itu penegasan bekas pemain kebangsaan, Azraai Khor Abdullah ketika ditanya apakah Bukit Jalil layak digunakan untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, 16 November nanti.

Ketika Pestabola Merdeka ­minggu lalu, rumput SNBJ yang koyak dan tercabut di beberapa bahagian mengundang kemarahan India.

PEMAIN negara, Akhyar Rashid membetulkan rumput yang tercabut ketika menentang Tajikistan di Stadium Nasional Bukit Jalil. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Jurulatih mereka, Igor Stimac berkata, keadaan padang yang teruk menyebabkan negara itu gagal menunjukkan permainan sebenar dan akhirnya kalah 2-4.

“Adakah kita tidak pernah belajar daripada perlawanan sebelum ini dan adakah kita mahu dimalukan lagi? Dengan keadaan padang sedemikian, ia pasti akan menjejaskan maruah negara kerana ini kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia.

“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) rapat dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, jadi apa salahnya minta jasa baik TMJ untuk Harimau Malaya bermain di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

“Malu itu satu, keadaan ­padang juga akan menjejaskan rentak permainan skuad kendalian Kim Pan Gon,” kata ­Azraai kepada Mingguan Malaysia.

Azraai berkata, beliau percaya, sekarang masih ada masa untuk FAM mencari stadium alternatif untuk dijadikan ‘kandang’ Harimau Malaya.

“Berimasa kepada padang di SNBJ yang baru ditanam dengan Zeon Zoysia itu betul-betul bersedia, jangan beri tekanan kepada padang dan biarkan rumput itu tumbuh dengan baik,” katanya.

Kelmarin, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, setakat ini, SNBJ kekal sebagai hos untuk perlawanan Malaysia menentang Kyrgyzstan, namun pihaknya mempunyai beberapa alternatif lain sekiranya perlu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN