PETALING JAYA: Biarpun turun sebagai pasukan ranking paling rendah dalam kalangan empat pesaing Pestabola Merdeka, pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon melaungkan amaran anak-anak buahnya sedia ‘membunuh’ setiap lawan yang akan ditentang.
Jelas jurulatih dari Korea Selatan itu, beraksi di hadapan ribuan penonton sendiri di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) memberi kelebihan kepada Malaysia, dan beliau mahu ia dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.
Sehingga semalam, 14,022 tiket sudah terjual untuk menyaksikan pertemuan Harimau Malaya menentang pasukan No. 102 dunia, India dalam aksi pertama pada 13 Oktober yang berlangsung pukul 9 malam.
Pemegang tiket juga boleh menonton satu lagi perlawanan yang menemukan pasukan No. 97 dunia, Palestin dan Tajikistan (110 dunia) pada hari sama pukul 4.30 petang.
Pemenang kedua-dua perlawanan akan bertemu sesama sendiri dalam perlawanan akhir pad 17 Oktober.
Pan Gon percaya, barisan pemainnya turut menyimpan semangat sama dengan masing-masing terlalu dahagakan kejayaan untuk cuba memenangi saingan empat penjuru tersebut biarpun menghuni ranking ke-134 dunia.
“Ia satu detik istimewa dan saya bangga kerana dapat peluang untuk mengendali perlawanan Pestabola Merdeka sejurus menjadikan pertarungan ini sebagai persediaan buat Harimau Malaya beraksi dengan baik pada Kelayakan Piala Dunia FIFA 2026/Kelayakan Piala Asia 2027 November ini.
“Saya akan meneruskan harapan untuk ‘membunuh’ semua pasukan pelawat yang menjadi saingan buat Harimau Malaya terutama apabila mereka bertandang ke SNBJ.
“Saya nampak skuad saya mempunyai peluang besar untuk menjuarai kejohanan dan saya ingin berterima kasih kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana menganjurkan Pestabola Merdeka,” katanya.
Terdahulu, perlawanan antarabangsa bulan lalu menyaksikan skuad Harimau Malaya hampir mengejutkan dua pasukan di ranking 100 dunia apabila mengikat Syria dan China, di Chengdu dengan mengikat kedudukan-dua pasukan.