BRUSSELS: Pertemuan Belgium dan Sweden dalam kelayakan Euro 2024 ditangguhkan ketika rehat selepas dua warga Sweden maut ditembak dalam satu serangan di Brussels awal pagi tadi.
Penonton kemudian diminta kekal di Stadium King Baudouin atas faktor keselamatan sebaik sahaja pengumuman pemain tidak akan masuk ke padang untuk menyambung aksi babak kedua dilakukan.
“Berikutan serangan pengganas yang disyaki di Brussels malam ini, selepas berunding dengan kedua-dua pasukan dan polis tempatan, diputuskan aksi kelayakan Euro 2024 antara Belgium dan Sweden ditangguhkan,” kata UEFA dalam satu kenyataan.
Insiden tersebut dilaporkan berlaku kira-kira 5 kilometer (km) dari stadium sebelum sepak mula.
Pengurus Sweden, Janne Andersson berkata, dia dan pemain hanya mengetahui tentang insiden tembakan itu pada separuh masa.
“Apabila saya turun untuk rehat, saya mendapat maklumat ini. Serta-merta, saya rasa ia sama sekali tidak betul. Apakah jenis dunia yang kita tinggal hari ini?
“Saya masuk ke bilik persalinan dan apabila pasukan mula bercakap, kami bersetuju 100 peratus bahawa kami tidak mahu bermain kerana menghormati mangsa dan keluarga mereka,” kata Andersson.
Dua warga Sweden ditembak mati oleh seorang suspek yang masih bebas, dalam serangan yang disifatkan oleh Perdana Menteri Belgium sebagai ‘keganasan’.
Polis mengiringi pasukan Sweden ke lapangan terbang, manakala penyokong Sweden pula diiringi polis ke bandar. – AGENSI