PORTO: Cristiano Ronaldo meledak dua gol untuk membantu Portugal menewaskan Slovakia 3-2 dalam aksi sengit di Stadium Dragao hari ini, sekali gus mengesahkan tiket ke pusingan akhir Euro 2024.
Bintang Al-Nassr itu menyempurnakan penalti babak pertama dan menambah jaringan di separuh masa kedua untuk memberi kemenangan ketujuh berturut-turut buat negaranya dalam saingan Kumpulan J.
Portugal kini mengumpul 21 mata untuk mengesahkan kedudukan dua teratas.
“Cristiano Ronaldo menikmati permainannya, mempunyai minit perlawanan dan menjaringkan banyak gol untuk kelabnya.
“Dia mempunyai banyak pengalaman bersama skuad kebangsaan dan menjadi contoh kepada pemain-pemain muda,” kata pengendali Portugal, Roberto Martinez.
Slovakia ketinggalan lapan mata di tangga kedua, dua mata di depan Luxembourg yang akan menentang mereka pada Isnin.
Portugal bermula baik apabila Goncalo Ramos menanduk hantaran lintang Bruno Fernandes di minit kelapan, menewaskan penjaga gol Slovakia, Martin Dubravka.
Ia jaringan ketujuhnya dalam sembilan perlawanan, dan umpanan keenam yang dilakukan Fernandes dalam kempen kelayakan Euro 2024.
Fernandes hampir menambah jaringan pada minit ke-26 tetapi percubaannya dinafikan Dubravka.
Tiga minit kemudian, bola terkena tangan Denis Vavro dan video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan penalti buat Portugal.
Ronaldo tenang menyempurnakan jaringannya yang ke-124 bersama Portugal di stadium yang menyaksikan dia meledak gol pertamanya di peringkat antarabangsa, ketika menentang Greece dalam Euro 2004. – AGENSI