LONDON: Chelsea akhirnya mengatasi masalah serangan tumpul apabila meledak dua gol ketika menumpaskan Fulham 2-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.
Bintang Ukraine, Mykhailo Mudryk akhirnya mencetak nama sebagai penjaring gol Blues sejak tiba di Stamford Bridge pada harga 89 juta pound (RM507.60 juta), Januari lalu.
Mudryk membuka jaringannya pada minit ke-18 selepas menyudahkan hantaran Levi Colwill dan Armando Broja menggandakan kedudukan, seminit kemudian.

Chelsea yang berdepan isu kecederaan bertandang ke Craven Cottage dengan hanya dibezakan dua mata di atas zon penyingkiran.
Anak-anak buah Mauricio Pochettino itu hanya menjaringkan lima gol dalam enam perlawanan pertama liga, malah hanya mencatat dua kemenangan musim ini.
Kemenangan itu membawa Chelsea ke pertengahan liga dan meredakan tekanan Pochettino yang bergelut, selepas pasukannya gagal menjaringkan gol dalam tiga perlawanan liga sebelum ini.
“Amat penting bagi kami untuk membina keyakinan dan kepercayaan pada diri kami sendiri.
“Persembahan yang ditunjukkan malam ini sangat baik, saya sangat gembira untuk pemain dan akhirnya kami mendapat apa yang sepatutnya,” kata Pochettino kepada Sky Sports. – AGENSI