KUALA LUMPUR: Keadaan rumput Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang kelihatan rosak sehingga mengganggu aksi Malaysia-India dalam saingan Pestabola Merdeka malam ini turut menarik perhatian Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Rumput yang ‘koyak’ dan tercabut ketika permainan baru memasuki babak pertama menimbulkan persoalan apalah rumput Zeon Zoysia yang ditanam belum cukup matang.
Situasi tersebut juga mengganggu corak permainan kedua-dua pasukan apabila ada ketikanya bola melantun dan menghalang pergerakan pemain.
Tunku Ismail, individu yang menaja penanaman Zeon Zoysia di SNBJ menjelaskan, padang tersebut sepatutnya diberikan lebih masa sebelum digunakan untuk aksi bola sepak.
“Padang itu sepatutnya diberikan lebih masa untuk akarnya kuat, macam padang Sultan Ibrahim.
“Tetapi national team (skuad kebangsaan) nak pakai secepat mungkin. Itu atas keputusan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan pihak stadium.
“Kalau saya, saya beri lebih masa. Sekurang-kurangnya dua atau tiga bulan. Kontraktor ini, kontraktor yang sama buat padang JDT (Johor Darul Ta’zim” katanya dalam InstaStory.
Semalam, Tunku Ismail yang juga pemilik JDT merasmikan padang baharu SNBJ.
Gelanggang keramat Harimau Malaya itu bukan sahaja menggunakan rumput baharu, malah proses naik taraf turut dilakukan di bahagian lain termasuk tempat solat dan tandas.
Padang baharu menggunakan rumput Zeon Zoysia bagi menggantikan rumput jenis Cow Grass dianggarkan mencecah kos sehingga RM1.4 juta. – UTUSAN