PETALING JAYA: “Daripada insiden menolak berlarutan kepada menyepak. Ibarat tsunami menunggu dihanyut dan binasakan semuanya.”
Itulah penegasan bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd. Salleh berhubung insiden pertahanan import Selangor, Yazan Al-Arab menendang pengadil, Mohd. Hasrol Amir, Ahad lalu.
Jelasnya, insiden menyerang pengadil telah berulang kali berlaku dalam Liga Malaysia (Liga M) dan perkara ini dipandang harus serius oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Selepas insiden kali pertama yang melibatkan insiden menolak pengadil yang pernah dibicarakan sebelum ini telah tegaskan sikap biadab ini perlu ditangani dengan segera kerana kegagalan menanganinya dengan serius akan menyebabkan kesukaran pada masa hadapan.
“Dengan gambar tindakan biadab pemain tersebut yang ‘viral’ sekarang bagaimana agaknya perasaan keluarga pengadil tersebut.
Tersenyum? Gembira? Adakah mereka boleh terima?,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tenaga pengajar bahagian teknikal pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu, turut bersimpati dengan hukuman berat bakal diterima Yazan sekali gus bakal memberi impak besar kepada Selangor.

“Saya bersimpati dengan beliau tetapi itulah risiko yang perlu dihadap apabila gagal mengawal perasaan dan bertindak ‘luar biasa’ menyepak seorang penguatkuasa.
“Mereka yang mencari rezeki dalam bola sepak khususnya pemain dari luar negara perlu diberi kesedaran bahawa kita adalah Malaysia yang tinggi adabnya dan jangan mereka cuba berlagak.
“Kita terbuka untuk belajar setiap ‘kepandaian’ yang mereka ada dan bukannya menyemai bibit biadab sepertimana yang berlaku.
“Oleh itu saya tidak ada perasaan kasihan malah pemain seperti ini perlu diusir dari kancah bolasepak Malaysia sebelum tindakannya mendapat simpati.
Soal Subkhiddin, adakah Yazan yang merupakan tonggak Jordan berani melakukan perkara sama jika mewakili negaranya di peringkat antarabangsa.