KUALA LUMPUR: Malaysia yang melakukan penampilan sulung dalam Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Dunia (WDFC) ke-4 mempamer aksi terpuji sekalipun tewas tipis 2-3 pada perlawanan pembukaan Kumpulan A di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur malam ini.
Bagaimanapun, aksi goyah benteng pertahanan negara menyaksikan pintu Malaysia yang dikawal, Muhamad Sulaman dibolosi tiga kali dalam babak pertama permainan.
Gol pertama diperoleh pasukan pelawat seawal minit ke-8 apabila Muhammad dipersalahkan kerana menjatuhkan pemain lawan dan sekali gus, membuka peluang kepada pemain sayap kanan, Chad Martin Johnson menyempurnakan sepakan penalti untuk AS mendahului 1-0.
Selang dua minit selepas itu, kealpaan benteng pertahanan skuad bimbingan Muhamad Haris Lajid itu sekali lagi dihukum oleh Johnson menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti.

Skuad negara yang cuba bertindak balas dengan melakukan larian dari sayap kanan padang menerusi Muhammad Kamarul Irfan Kamaruzaman, bagaimanapun, gagal menghasilkan sebarang jaringan.
Sebaliknya pasukan pelawat yang bijak memanfaatkan peluang, menambah derita Malaysia apabila berjaya melebarkan kedudukan kepada 3-0 hasil rembatan Francis James Neill III pada minit ke-35.
Memasuki babak kedua, Malaysia berusaha mengubah rentak permainan dengan melakukan beberapa percubaan berbahaya ke gawang lawan.
Antara peluang terbaik Malaysia hadir menerusi Muhammad Akeem Mikail Abd. Azis yang melakukan hantaran dari sayap kiri padang.

Begitupun, Megat Aniq Muqri Megat Azlan yang menanti di depan pintu gol gagal menolak kemas bola yang tersasar keluar pada minit ke-53.
Penantian Malaysia akhirnya kunjung tiba apabila rembatan cantik dari luar kotak penalti oleh Megat Aniq yang membolosi sudut kiri atas pintu gol AS pada minit ke-64, merapatkan jurang jaringan kepada 1-3.
Skuad negara terus mempamerkan aksi berdisiplin dan tidak mengenal erti putus asa apabila rembatan jarak jauh dari sayap kiri padang oleh Akeem Mikail sekali lagi berjaya merobek pintu gol yang dikawal Erik Jay Jaspers untuk menjadikan kedudukan 2-3 pada minit ke-77.
Sementara itu, pengendali pasukan negara, Muhammad Haris, ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berkata, para pemainnya beraksi gementar pada separuh masa pertama sehingga membiarkan gawang Malaysia dibolosi.
“Semasa rehat saya menegur pemain-pemain saya, main seperti biasa dan buang perasaan gugup, penjaga gol AS tidaklah bagus mana.
“Saya juga ubah sedikit taktikal dengan meminta pemain tengah lebih banyak melakukan larian ke pintu gol lawan dan usaha itu ternyata berhasil apabila kita berjaya meledakkan dua gol,” katanya.
Pada Isnin, skuad negara bakal berdepan Jerman dalam aksi kedua Kumpulan A di Stadium Arena UM pukul 4.30 petang. – UTUSAN ONLINE