WDFC: Malaysia tersingkir, tewas semua perlawanan

WDFC: Malaysia tersingkir, tewas semua perlawanan

MUHAMMAD Akeem Mikail Abd Azis (kiri)  merebut bola daripada pemain Mesir, Abdelmotaleb Aly Maher dalam aksi Kumpulan A, WDFC di Stadium UiTM, Shah Alam malam tadi. - Ihsan WDFC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Harapan Malaysia untuk layak ke peringkat 16 terbaik Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Dunia (WDFC) berkecai selepas kalah 0-1 kepada Mesir dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium UiTM, di sini malam tadi.

Skuad bimbingan Muhamad Haris Lajid itu yang terdesak untuk memburu kemenangan ditimpa kekalahan ketiga berturut-turut dan gagal mengutip sebarang mata.

Malaysia memperoleh peluang untuk meledak gol pendahuluan menerusi Muhammad Kamarul Irfan Kamaruzaman, namun sepakan percuma yang diperolehnya pada minit ke-26 tersasar.

Skuad bimbingan Muhammad Haris Lajid itu sekali lagi diberi sepakan bebas oleh pengadil pada minit ke-42, malangnya Megat Aniq Muqri Megat Azlan yang menggalas tugas itu turut gagal menggegar gawang lawan.

Mesir yang telahpun layak ke peringkat 16 terbaik hampir membolosi pintu gol Malaysia, namun tandukan Amr Mohamed Elshirbeny tersasar pada minit ke-43.

Malaysia yang terdesak memburu kemenangan untuk menghidupkan peluang mara ke peringkat seterusnya, melancarkan serangan sebaik permainan disambung semula, tetapi rembatan cantik Muhammad Affandi Aqil Fadzli pada minit ke-46 sedikit melepasi palang gol Mesir.

Pintu gol Malaysia yang dikawal rapi oleh Muhammad Sulaman akhirnya dibocori pada minit ke-77 apabila Mohamed ElGouhar Mohamed Taman Maher merembat masuk bola dari dalam kotak penalti.

Kapten skuad kebangsaan, Mak Chee Weng berkata, dia dan rakan sepasukannya telah memberikan yang terbaik, namun nasib tidak menyebelahi mereka.

“Walaupun kalah, kami telah mencuba sedaya upaya, kami berikan 100 peratus kepada pasukan.

“Mesir sebuah pasukan yang kuat dan pengalaman ini membuka mata tentang kelebihan dan kelemahan kami,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN