Tiada lagi sasaran pingat emas Sukan Asia

Tiada lagi sasaran pingat emas Sukan Asia

MOHD. NAZIFUDDIN NAJIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sasaran pi­ngat emas tidak lagi menjadi keutamaan kontinjen Malaysia apabila berentap dalam Sukan Asia di Hangzhou bulan ini, sebaliknya mereka dijang­ka menukar pendekatan kepada pemburuan pingat keseluruhan tanpa mengira warna.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib berkata, ini salah satu cadangan yang dikemukakan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjelang pengumuman sa­saran kontinjen negara ke Sukan Asia esok.

Katanya, pendekatan itu dianggap lebih sesuai bagi menilai prestasi keseluruhan atlet negara sebagai satu kontinjen daripada mengukur pencapaian individu menerusi sumbangan emas sahaja.

“Kita telah menga­dakan mesyuarat penetapan pingat semalam atau dua hari lepas sama ada mahu umumkan sasaran pingat emas atau cuma meletakkan sasaran pungutan pingat keseluruhan.

“Dua-dua fokus itu sudah diberikan kepada menteri untuk beliau membuat keputusan yang mana lebih sesuai untuk pengumuman pada Isnin ini.

“Yang paling penting adalah pencapaian keseluruhan untuk semua atlet kerana kita mahu dilihat sebagai satu kontinjen yang boleh berikan pungutan pingat yang sesuai dengan saiz kontinjen.

“Kita pun tidak mahu melihat emas ini menjadi topik utama untuk kontinjen negara, tetapi yang penting semua sukan yang kita hantar ada pres­tasi baik di Sukan Asia,” jelas Nazifuddin selepas Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.

Nazifuddin bagaimanapun menegaskan, cadangan itu tiada kena mengena dengan kegagalan Malaysia mencapai sasaran pungutan pingat emas pada Sukan SEA Kemboja, Mei lalu.

Lima tahun lalu di Jakarta/Palembang, Malaysia yang menghantar 417 orang atlet meraih kejayaan apabila berjaya mencapai sasaran membawa pulang tujuh pingat emas, 13 pingat perak dan 16 pingat gangsa untuk menduduki tangga ke 14 keseluruhan.

Bagi Sukan Asia kali ini, Malaysia menghantar kontinjen seramai 294 orang atlet dan akan mengambil bahagian dalam 29 acara bagi 23 jenis sukan daripada 40 jenis sukan yang. dipertandingkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya