NEW YORK: Carlos Alcaraz tidak berdepan masalah dalam misi mempertahankan kejuaraan tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) apabila menewaskan pemain bukan pilihan, Matteo Arnaldi 6-3, 6-3, 6-4 untuk mara ke suku akhir hari ini.
Pemain No. 1 dunia itu yang memburu gelaran Grand Slam kedua tahun ini selepas muncul juara Wimbledon, Julai lalu mengakui, dia lebih gemar beraksi di atas gelanggang keras berbanding permukaan lain.
Pada usia 20 tahun, Alcaraz menjadi pemain termuda mara ke suku akhir Terbuka AS tiga kali dalam era terbuka yang bermula pada 1968.
Dia satu-satunya pemain selain Andre Agassi yang melakukan kejayaan itu sebelum mencapai usia 21 tahun.
Menanti jaguh Sepanyol itu pada suku akhir, Khamis ini adalah pemenang di antara pilihan keenam, Jannik Sinner dan pemain No. 12 dunia, Alexander Zverev.

Sementara itu, dalam saingan perseorangan wanita, pemain muda China, Zheng Qinwen mengejutkan pilihan kelima, Ons Jabeur dari Tunisia untuk mara ke suku akhir Grand Slam buat kali pertama.
Qinwen, 20, pilihan ke-23 kejohanan menang 6-2, 6-4 dalam masa satu jam, 22 minit.
Dalam satu lagi perlawanan, pilihan ketiga kejohanan, Jessica Pegula dari AS kalah mengejut 1-6, 3-6 kepada rakan senegara, Madison Keys di pusingan 16 akhir. – AGENSI