SEREMBAN: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari lega pasukannya masih mampu mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Negeri Sembilan FC dalam suku akhir pertama Piala Malaysia kelmarin biarpun kehilangan beberapa tonggak.
Gandingan Fernando Forestieri dan Leandro Velazquez yang dibelenggu kecederaan antara yang tidak diturunkan Harimau Selayan.
Sembilan tonggak mereka pula baru kembali dari Chengdu, China kerana terbabit dalam aksi persahabatan bersama skuad kebangsaan.
“Pasukan telah menunjukkan aksi yang baik dengan mengawal permainan dan kami cuba mengambil peluang pada separuh masa pertama.
“Saya tidak menurunkan pemain yang baru pulang dari China kerana mereka memerlukan rehat tetapi Arif Aiman Hanapi meminta diturunkan dan dia telah menjaringkan gol pertama,” katanya.

Dalam perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi itu, Arif Aiman membuka jaringan Harimau Selatan pada minit ke-19, diikuti dua gol menerusi Bergson da Silva.
Kedua-dua pasukan akan bertemu dalam suku akhir kedua pada 23 September ini di Stadium Sultan Ibrahim, di Iskandar Puteri, Johor.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Negeri Sembilan, K. Devan berkata, taktikal yang tidak hanya bertahan dan menyerang apabila ada peluang telah menyebabkan pemainnya dapat memberikan aksi sengit kepada pasukan juara bertahan itu.
“Kami bermain secara proaktif iaitu menyerang bila sahaja ada peluang berbuat demikian. Kesannya ialah pasukan lawan tidak dapat berpesta gol dan penjaga gol JDT tidak duduk diam kerana terpaksa menyelamatkan beberapa percubaan pemain Negeri Sembilan,” katanya.