SEREMBAN: Bakal berdepan pasukan terkuat dalam liga tempatan tanpa barisan terbaik adalah perkara paling menakutkan buat Negeri Sembilan apabila menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada suku akhir pertama Piala Malaysia malam ini.
Skuad Rusa akan menerima kunjungan juara bertahan, Harimau Selatan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi tanpa lima tonggak.
Mengetuai senarai ‘hilang dari radar’ adalah rangkaian penyerang, Casagrande dan Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi, selain pertahanan, Che Rashid Che Halim akibat kecederaan.
Penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman pula bersama skuad bawah 23 tahun kebangsaan yang beraksi dalam kelayakan Piala Asia B-23 di Thailand, manakala pemain sayap import, Hein Htet Aung belum kembali daripada tugasan antarabangsa dengan Myanmar.
“Kami akan bermain tanpa lima tonggak. Memang ia perlawanan yang sukar tapi saya lihat pemain begitu bersemangat dan fokus dalam persiapan.
“Saya rasa pemain akan beri 100 peratus komitmen dan berjanji kepada penyokong untuk bermain bersungguh-sungguh supaya penonton yang datang ke stadium dapat lihat perlawanan yang menghiburkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Begitupun, isu kecederaan tonggak tidak hanya dihadapi Negeri Sembilan, malah JDT juga berdepan masalah sama.
Lebih malang buat Harimau Selatan, sudahlah hilang gandingan berbisa, Fernando Forestieri dan Leandro Velazquez, sembilan pemainnya baru kembali dari Chengdu, China semalam selepas beraksi untuk skuad kebangsaan dalam saingan persahabatan.
“Kami turun untuk mencari belakan selesa di Negeri Sembilan tetapi dalam masa sama harus waspada dengan ancaman lawan yang mungkin tampil dengan corak permainan berbeza,” kata pengendali JDT, Esteban Solari.