Penganjur LTdL sedia terima perubahan pelumba pada saat akhir

Penganjur LTdL 2023 sedia terima perubahan senarai pelumba pada saat akhir

Beberapa pasukan memohon kepada penganjur LTdL 2023 untuk mengubah senarai pelumba mereka sebelum saingan bermula 23 September depan. (FOTO: Ihsan LTdL)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganjur perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 bersedia menerima sebarang perubahan senarai pelumba pada saat akhir, sebagai menggalakkan lagi pasukan antarabangsa menghantar pelumba terbaik mereka untuk menyertai edisi kali ini.

Ketua Pegawai Operasi LTdL, Emir Abdul Jalal menjelaskan terdapat lima pasukan meminta untuk membuat pertukaran pelumba selepas manual perlumbaan dan senarai penuh pelumba diserahkan kepada semua pasukan.

Baginya tiada halangan untuk pasukan membuat pertukaran kerana berdasarkan peraturan sedia ada, mereka berhak untuk melakukannya 72 jam sebelum mesyuat pengurus bersidang pada 22 September.

Antara yang membuat pertukaran senarai pelumba merupakan dua pasukan Jelajah Dunia, Astana Qazaqstan dan EF Education-Easypost serta tiga pasukan Profesional terdiri daripada Corratec-Selle Italia (Itali), Tudor Pro Cycling (Switzerland) serta Euskaltel-Euskadi (Sepanyol) yang sebelum ini bercadang mahu membawa enam orang pakar pendaki.

“Kalau ikut peraturan, mereka boleh menukar pelumba 72 jam sebelum mesyuarat pengurus, cuma keadaan menjadi kecoh kerana kami perlu menguruskan lojistik, penerbangan, urusan visa dan sebagainya tetapi kami sudah menjangkakannya perkara ini akan berlaku kerana ini adalah sebahagian daripada cabaran untuk menguruskan perlumbaan sebesar LTdL.

“Bila ada pertukaran sebegini, ia menunjukkan pasukan-pasukan yang bertanding mengambil serius tentang perlumbaan ini.

“Pengumuman senarai penuh pelumba mungkin akan diumumkan oleh pasukan masing masing terlebih dahulu,” jelas Emir kepada Utusan Malaysia.

Sebanyak 22 pasukan telah pun mengesahkan untuk menyertai perlumbaan bagi tahun ini termasuk dua pasukan tempatan iaitu Terengganu Polygon Cycling (TSG) serta pasukan berbasikal kebangsaan.

Dalam masa yang sama Emir turut menjelaskan pengumuman penaja utama saingan ini akan diadakan pada minggu hadapan.

Sebelum ini, Ketua Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menjelaskan pihaknya sudah pun berjaya mendapatkan barisan penaja untuk membiayai penganjuran edisi kali ini yang terdiri daripada syarikat konglomerat tempatan.

Saingan LTdL 2023 akan berlangsung pada 23 hingga 30 September membabitkan lapan peringkat perlumbaan dengan jarak kayuhan sejauh 1,280 kilometer (km).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya