Nafuzi antara calon terbaik ganti Elavarasan

Nafuzi antara calon terbaik ganti Elavarasan

NAFUZI ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Empat nama disebut-sebut sebagai pilihan untuk mengisi kekosongan ke­tua jurulatih skuad bawah 23 (B-23) Malaysia yang ditinggalkan E. Elavarasan iaitu pengendali Kedah, Nafuzi Zain; Hairuddin Omar, Pau Marti Vicente serta Juan Torres Garrido.

Ketika Piala Asia B-23 hanya tinggal enam bulan untuk berlangsung di Qatar, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mendapatkan pengganti Elava­rasan dalam kadar segera.

Sebagai orang paling dekat dengan skuad B-23, kelebihan nampak dimiliki Juan Torres ke­rana bertindak sebagai pembantu Elavarasan.

Juan Torres Garrido

Juan Torres mempunyai kelayakan secukupnya dan kerjayanya dahulu banyak berkisar di Sepanyol dengan dia mula berkhidmat bersama CF Damm di Barcelona sebagai jurulatih B-18, penganalisis, pencari bakat dan pengarah teknikal.

Dia kemudian berhijrah ke FC Barcelona dengan berperanan sebagai ketua pencari bakat bagi dan jawatan terakhirnya sebelum datang ke Malaysia adalah ketua bola sepak remaja profesional B-23.

Jika mahu memberikan nafas baharu kepada skuad B-23 dan menyamai apa yang diperagakan skuad senior, Pau Marti mungkin antara pilihan tepat kerana dia calon paling dekat sebagai pembantu Kim Pan Gon.

Pengendali kelahiran Sepa­nyol itu tidak asing lagi dalam kala­ngan peminat bola sepak tanah air selepas berada dalam skuad kebangsaan sejak 2022.

PAU Marti Vicente merupakan pembantu Kim Pan Gon dalam skuad kebangsaan.

Pelantikannya bersama Harimau Malaya dalam barisan kejurulatihan turut menghangatkan suasana apabila ramai mengetahui bahawa Pau Marti pernah menimba pengalaman di Sepa­nyol bersama Barcelona B.

Bagaimanapun, jika anak tempatan yang dicari-cari FAM, Nafuzi mungkin jawapannya kerana namanya sebelum ini pernah beberapa kali disebut untuk memasuki senarai akhir bagi mengemudi skuad kebangsaan namun, tidak menjadi kenyataan.

Kejayaan Nafuzi di peringkat tempatan tidak asing lagi sehingga ada peminat yang memberi gelaran khusus ‘Nafuzi Ball’ dengan corak permainan yang diterapkannya dengan falsafah penguasaan bola dan hantaran pendek di atas padang.

Sesuatu yang perlu difikirkan FAM adalah, Nafuzi sekarang merupakan pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC dan dia juga mempunyai satu hubungan baik bersama pihak pengurusan selepas menghidupkan satu musim yang positif bersama Sang Kenari.

HAIRUDDIN OMAR

Anak tempatan lain yang boleh dimasukkan dalam senarai ialah bekas penyerang Harimau Malaya, Hairuddin dan dia sebelum ini pernah memainkan peranan sebagai pembantu Bojan Hodak dalam skuad B-19 tahun negara pada 2019.

Gandingan Bojan dan Hairuddin itu menjadi apabila pasukan yang dibimbing mereka menjuarai Kejohanan Piala AFF B-19 pada tahun yang sama namun kerjasama mereka berakhir selepas Bojan memilih untuk menyertai kelab Indonesia, PSM Makassar.

Penyerang berkaliber itu ketika ini memainkan peranan sebagai jurulatih Terengganu FC II dan sekiranya menjadi pilihan, tidak susah untuk FAM berunding dengan pihak pengurusan Terengganu FC.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya