Megacity, bintang dunia ‘senjata’ Arab Saudi bida Piala Dunia

Megacity, bintang dunia ‘senjata’ Arab Saudi bida Piala Dunia

LAKARAN bandar futuristik, Neom di Arab Saudi yang menjadi projek Megacity negara itu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CRISTIANO RONALDO

SEJAK beberapa bulan lalu, kelab-kelab bola sepak Arab Saudi mencipta fenomena apabila membelanjakan sejumlah wang yang tidak masuk akal hanya untuk membawa bintang-bintang dunia beraksi dalam liga negara itu.

Kehadiran ‘superstar’ Portugal, Cristiano Ronaldo yang menyertai Al-Nassr, Disember lalu dengan kontrak 173 juta pound (RM1.01 bilion) setahun telah membuka pintu kepada lebih ramai pemain ternama untuk datang ke Liga Pro.

Pada mulanya, ramai melihat Arab Saudi sebagai tempat ‘persaraan’ buat pemain-pemain yang sudah melewati kemuncak karier kerana Ronaldo sendiri sudah berusia 38 tahun.

Begitupun, apabila seorang demi seorang pemain yang masih di prestasi terbaik menuju ke negara itu, liga-liga di Eropah mula merasa terancam, malah banyak pihak akhirnya sedar Arab Saudi tidak membeli pemain hanya untuk menumpang populariti mereka.

NEYMAR antara bintang besar yang dibawa masuk dalam Liga Pro Saudi.

Ronaldo, Neymar, Sadio Mane, Aymeric Laporte, Riyad Mahrez, Karim Benzema, Roberto Firmino, Fabinho, Jordan Henderson, N’Golo Kante, Edouard Mendy, Alex Telles, Kalidou Koulibaly dan ramai lagi datang ke Arab Saudi untuk menaikkan kualiti liga domestik, seterusnya skuad kebangsaan negara itu.

Arab Saudi membelanjakan berbilion ringgit bukan sekadar untuk menaikkan Liga Pro, sebaliknya mereka mempunyai misi lebih besar dan hebat iaitu menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034.

Kehadiran bintang dunia mampu menjadi duta kepada misi mereka untuk menjadi negara Asia Barat kedua selepas Qatar menganjurkan kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia.

Kesungguhan Arab Saudi untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia tidak hanya ditunjukkan dengan pembelian beramai-ramai pemain bertaraf bintang, malah mereka membina projek luar biasa Me­gacity bernilai AS$1 trilion (RM4.65 trilion).

PELAN reka bentuk The Line di tengah-tengah Laut Merah bandar Megacity, Neom di Arab Saudi. – AFP

Pada 2017, Putera Mahkota ­Mohammed Salman melancarkan bandar Neom sebagai sebahagian Wawasan 2030 negara itu, dengan matlamat untuk disiapkan menje­lang akhir dekad.

Megacity bakal mempu­nyai pusat industri terapung dan bandar pelabuhan, selain pusat ­peranginan ski Trojena yang telah dianugerahkan Sukan Musim Sejuk Asia 2029, malah sebuah lapangan terbang akan dibina.

Pemimpin Arab Saudi mula mencari tokoh-tokoh senior bola sepak Eropah untuk meraih sokongan mereka, malah negara itu berharap untuk mengadakan kejohanan pada musim panas, dengan venue di ­altitud tinggi sebagai pilihan.

Bagaimanapun kejohanan musim sejuk juga tidak dike­tepikan dan ia boleh berlangsung antara November dan Disember, seperti yang dilakukan Qatar 2022.

Arab Saudi berharap mereka akan mendapat sokongan negara-negara Eropah selepas menarik diri untuk membida tuan rumah 2030 kerana percayaan bidaan Sepanyol, Portugal dan Maghribi mempunyai peluang lebih besar.

Bintang dunia, bandar Neom dan pelaburan ‘tidak masuk akal’ yang dikeluarkan Arab Saudi tidak akan sia-sia. Ramai menjangkakan mereka kini calon pilihan untuk menganjurkan Piala Dunia 2034.

Kejayaan skuad negara itu melakar kemenangan sensasi 2-1 kepada Argentina, yang kemudian muncul juara Piala Dunia tahun lalu juga ­elemen yang meletakkan mereka sebagai calon cukup layak untuk me­nganjurkan kejohanan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya