Malaysia tiada sasaran emas di Sukan Asia Hangzhou

Malaysia tiada sasaran emas di Sukan Asia Hangzhou

ISTERI Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bersama Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh (tengah) pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kepada Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou 2023.-IHSAN FLASH SUKAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Buat kali pertama dalam sejarah sukan tanah air, Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia di Hangzhou, China tidak meletakkan jumlah spesifik berhubung kutipan pingat emas apabila hanya mengumumkan 27 pingat menjadi sasaran negara secara keseluruhan.

Pengarah Bahagian Atet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk pendapat pakar dari Universiti Sains Sukan Nippon (NSSU) di Tokyo, Jepun.

“Amalan tidak mengumumkan sasaran pingat emas ini telah dilaksanakan oleh banyak negara seperti Jepun dan Australia bagi mengelak tekanan berlebihan ke atas atlet jika sasaran emas diletakkan ke atas mereka.

“Bukan sahaja di Asia, malah, negara-negara di Asia Tenggara seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina turut berbuat demikian dan hanya Vietnam yang umumkan sasaran lima pingat emas,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kepada Kontinjen Malaysia oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di sini, semalam.

Turut serta pada majlis itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Ketua Kontinjen ke Sukan Asia, Datuk Chong Kim Fatt, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Menurut Jefri, sasaran itu juga dibuat setelah mengambil kira pandangan semua wakil Persatuan Sukan Kebangsaan yang telah membentangkan maklumat terperinci mengenai sasaran pingat atlet masing-masing.

Jelas beliau, sasaran tersebut juga ditetapkan dengan mengambil kira prestasi semasa atlet dan pencapaian negara pesaing termasuk kehilangan 12 pingat iaitu dua emas, enam perak dan empat gangsa daripada temasya 2018 di Indonesia.

“Untuk Sukan Asia di Hangzhou, sukan boling dan silat tidak dipertandingkan, jadi, sasaran itu dibuat setelah pertimbangan praktikal diambil kira,” ujarnya.

Jefri memberitahu, pihaknya telah mengenal pasti sukan dan atlet yang dijangka meraih pingat termasuk terjun, badminton, berbasikal trek, ekuestrian, hoki padang, karate, memanah, olahraga, pelayaran, sepak takraw, skuasy, wusyu dan e-sukan.

Tambah beliau, apa yang lebih penting, atlet boleh memberi fokus dan mempamerkan persembahan terbaik, sebab itu, Kontinjen Malaysia mencuba kaedah tersebut.

Seramai 289 atlet akan beraksi pada Sukan Asia yang akan membuka tirai temasya pada 23 September ini dan Malaysia akan menyertai dalam 22 daripada 40 jenis sukan dipertandingkan.

Pencapaian Kontinjen Malaysia pada temasya lalu di Jakarta/Palembang ialah 7 emas, 13 perak dan 16 gangsa.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya