PETALING JAYA: Malaysia berdepan laluan pada Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Dunia (WDFC) ke-4 yang akan membuka tirai, Sabtu ini apabila diundi dalam Kumpulan A bersama Amerika Syarikat (AS), Jerman dan Mesir.
Selaku tuan rumah, pasukan negara akan beraksi dalam perlawanan pembukaan menentang AS di Stadium Bola Sepak Cheras dekat ibu negara.
Jurulatih skuad orang pekak negara, Muhamad Haris Lajid ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, secara jujurnya, beliau sendiri tidak begitu arif dengan kekuatan pasukan lawan.
“Kita belum pernah berdepan dengan ketiga-tiga negara tersebut, saya hanya mampu buat penyelidikan menerusi tontonan di YouTube.
“Perkara pertama yang boleh saya perkatakan ialah kelebihan negara-negara ini adalah fizikal mereka yang rata-rata memiliki ketinggian yang baik,” katanya sewaktu diminta mengulas selepas keputusan undian yang dilaksanakan di sebuah hotel dekat sini semalam.
Menurut Haris, anak-anak buahnya perlu berhati-hati terutama ketika lawan mengguna pakai corak permainan bola hantaran jauh.
Jelasnya, para pemain perlu memiliki disiplin tinggi dan tidak boleh leka ketika hantaran sedemikian dilakukan.
“Dari segi kualiti pula, saya tidak berasakan para pemain kita jauh ketinggalan berbanding tiga negara berkenaan, saya yakin dengan persiapan rapi yang telah kita buat, para pemain mampu mengharungi ujian ini walaupun sukar,” ujarnya.
Selain Malaysia yang berada dalam Kumpulan A, negara tetangga, Thailand pula diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Senegal, Argentina dan Ukraine
Juara bertahan, Turki, Arab Saudi dan Ghana pula berada dalam Kumpulan C, manakala, Nigeria, Gabon, England serta Australia diundi dalam Kumpulan D.
Kumpulan E pula melibatkan Iran, Perancis, Jepun dan Cameroon dengan kesemua perlawanan akan berlangsung di venue sekitar Lembah Klang.
Malaysia merupakan negara Asia pertama yang dipilih menjadi tuan rumah WDFC ke-4 selepas mengetepikan Korea Selatan yang turut membida menjadi penganjur kejuaraan tersebut. – UTUSAN ONLINE