LONDON: Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan, Reds akan melayani Liga Europa dengan ‘cara betul’, malah memiliki kekuatan yang cukup untuk menghadapi Liga Perdana Inggeris dan saingan kelab ‘kelas kedua’ Eropah itu.
Juara Eropah enam kali itu gagal meraih tiket Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak Klopp mengambil alih pasukan untuk musim penuh pada 2016.
Mereka mara ke final Liga Europa 2016 di bawah kendalian jurulatih dari Jerman itu, dan Klopp menegaskan, merangkul kejuaraan sekali lagi menjadi sasaran Liverpool.
“Pertama sekali, saya rasa kita perlu hormati semua pertandingan dengan cara betul, kita juga menghormati lawan dengan cara yang betul.
“Jelas sekali, saya sangat ingin ke final tetapi saya tidak tahu sama ada kami boleh mencapainya kerana ada banyak pasukan hebat, jadi kami perlu beraksi baik untuk memenuhi sasaran,” katanya kepada TNT Sports.
Liverpool memulakan kempen Eropah dengan bertandang ke Austria, berdepan LASK esok.
Reds kemudian akan berehat dua hari sebelum kembali beraksi dengan menerima kunjungan West Ham dalam aksi liga domestik pada Ahad. – AGENSI