WOLVERHAMPTON: Liverpool bangkit ketinggalan 0-1 untuk menumpaskan Wolverhampton 3-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris sebentar tadi.
Dua jaringan lewat minit membolehkan Reds mengekalkan mencatat kemenangan keempat berturut-turut, sekali gus merampas kedudukan pendahulu liga daripada Manchester City.
Juara bertahan, City bagaimanapun akan kembali ke tangga teratas jika menumpaskan West Ham dalam aksi di London sebentar lagi.
Reds kini mencatat rekod 16 perlawanan liga tanpa kalah sejak April lalu, berterima kasih kepada jaringan Cody Gakpo, Andrew Robertson serta gol sendiri Hugo Bueno yang berpunca daripada rembatan Harvey Elliott.
Liverpool bagaimanapun dikejutkan terlebih dulu dengan jaringan pantas tuan rumah menerusi pemain sayap Korea Selatan, Hwang Hee Chan seawal minit ketujuh, malah Wolverhampton menguasai saingan babak pertama.
Dengan ketiadaan dua tonggak pertahanan, Virgil van Dijk yang digantung serta Trent Alexander-Arnold yang cedera, Robertson menggalas tugas sebagai ketua pasukan di Stadium Molineux, dan benteng Reds tampak agak goyah di separuh masa pertama.
Begitupun memasuki babak kedua, Liverpool tampil lebih garang dan Mohamed Mohamed Salah memainkan peranan besar buat skuad bimbingan Jurgen Klopp biarpun tidak mencetak nama sebagai penjaring.
Pertukaran yang dilakukan Klopp dengan mengeluarkan Alexis Mac Allister untuk diganti dengan Luiz Diaz, selain membawa masuk Darwin Nunez serta Harvey Elliot turut merubah corak permainan Reds.
Salah mencipta gerakan untuk ketiga-tiga jaringan pasukannya, bermula dengan hantaran cantik yang mudah ditolak oleh Gakpo pada minit ke-55.
Dia kemudian melakukan hantaran silang untuk disudahkan oleh Robertson pada minit ke-85, sebelum Elliott melakukan rembatan yang terkena kaki Bueno dan memasuki gawangnya sendiri. – AGENSI