LONDON: Mohammed Kudus meledak satu gol dan memainkan peranan besar membantu West Ham bangkit daripada ketinggalan untuk mengalahkan TSC Backa Topola 3-1 dalam aksi pertama Kumpulan A, Liga Europa awal pagi tadi.
Bintang tengah Ghana itu menjaringkan gol pertamanya bersama Hammers sejak tiba dari Ajax pada harga 38 juta pound (RM219 juta) hujung bulan lalu.
Begitupun disiplin dan keinginan tinggi TSC membolehkan kelab Serbia itu mengejutkan West Ham dengan gol pembukaan pada minit ke-47.
Pertahanan tengah tuan rumah, Angelo Ogbonna membolehkan Petar Stanic merampas bola sebelum menewaskan penjaga gol, Lukasz Fabianski.
West Ham bagaimanapun menyamakan kedudukan pada minit ke-66 selepas Nemanja Petrovic tertolak bola ke gawang sendiri di bawah tekanan Kudus yang menerima hantaran Said Benrahma.
Empat minit kemudian, Kudus menanduk bola hasil sepakan penjuru James Ward-Prowse untuk meletakkan West Ham di depan sebelum pemain gantian, Tomas Soucek melengkapkan gol ketiga pada minit ke-82.
Sementara itu, dalam aksi Kumpulan G di Tiraspol, Romelu Lukaku muncul wira AS Roma apabila meledak gol kemenangan mereka ketika menewaskan kelab Moldova, Sheriff FC 2-1.
Pendahulu Bundesliga, Bayer Leverkusen pula menumpaskan kelab Sweden, Hacken 4-0, Rennes menewaskan Maccabi Haifa 3-0 di Perancis,Villarreal tewas 2-0 kepada Panathinakos di Greece. – AGENSI
KEPUTUSAN LIGA EUROPA