LONDON: Jendela perpindahan Liga Pro Saudi ditutup semalam dengan 700 juta pound (RM4.08 bilion) dibelanjakan secara keseluruhan bagi memborong pemain.
Bintang Liga Perdana Inggeris, Ligue 1 dan La Liga paling ramai ‘diborong’, menurut data Deloitte.
Begitupun, tawaran luar biasa yang dikemukakan kelab Arab Saudi gagal memikat bintang Liverpool, Mohamed Salah.
Skuad bimbingan Nuno Espirito Santo, Al-Ittihad melancarkan tawaran rekod dunia 215 juta pound (RM1.26 bilion) untuk penyerang Mesir itu tetapi wang nyata bukan keutamaan Salah.
Bagi kebanyakan kelab Eropah, ‘kegilaan’ pasukan dari Arab Saudi membeli pemain pada harga tinggi amat menyukarkan mereka.
Tamatnya jendela perpindahan musim panas di Arab Saudi adalah perkara paling melegakan.
Peminat Liverpool sendiri menunggu dengan penuh debaran sehingga tarikh akhir perpindahan ditutup.
Terdapat kebimbangan Al-Ittihad akan kembali dengan tawaran yang sukar ditolak oleh Reds sedangkan jendela perpindahan Liga Perdana sudah ditutup seminggu lalu dan mereka tidak boleh mencari pengganti.
Salah, 31, menjaringkan 188 gol dalam 309 perlawanan untuk Liverpool sejak menyertai dari Roma pada 2017.

“Kunci untuk Liverpool ialah Salah.
“Dengan kehadirannya, saya benar-benar percaya mereka boleh menjadi cabaran kepada Manchester City.
“Jika dia pergi, mereka tidak akan mencabar. Dia begitu penting kepada Liverpool,” kata bekas penyerang Blackburn, Chris Sutton di BBC Radio 5 Live.
Secara keseluruhan, kelab Arab Saudi membelanjakan 250 juta pound (RM1.46 bilion) untuk membeli bintang Liga Perdana.
Antara pemain yang berhijrah ke negara Asia Barat itu adalah tiga bintang Liverpool, Jordan Henderson, Roberto Firmino dan Fabinho.
Penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar pula menyertai Al-Hilal dengan harga 77.6 juta pound (RM454 juta).
Pemenang Ballon d’Or, Karim Benzema (Real Madrid) antara bintang yang dibawa masuk ke Liga Pro Saudi bersama Sadio Mane (Bayern Munich), kapten Inter Milan, Marcelo Brozovic, pemain Barcelona, Franck Kessie, Jota dari Celtic dan pemain tengah Lazio, Sergej Milinkovic-Savic.
Percubaan Al-Hilal untuk memecah rekod dunia tidak menjadi kenyataan apabila bintang PSG, Kylian Mbappe menolak tawaran 259 juta pound (RM1.5 juta). – AGENSI