PETALING JAYA: Kejayaan skuad bola sepak kebangsaan mengikat China 1-1 dalam aksi perlawanan persahabatan di Stadium Phoenix Mountain, Chengdu semalam mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Hannah yang ditemui media pada Majlis Perlawanan Persahabatan Malaysia dan Korea Selatan Untuk Meraikan Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur Melalui Sukan di Bukit Kiara hari ini memuji pendekatan diterapkan jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon yang berjaya menaikkan taraf skuad kebangsaan sehingga mampu untuk berdiri setaraf dengan pasukan di kedudukan 100 terbaik dunia.
Terdahulu Malaysia yang kini di tangga 136 dunia turut berjaya mengikat Syria 2-2 pada Rabu.
“Pasukan Harimau Malaya pencapaian pasukan bola sepak bertambah baik dibawah jurulatih Kim Pan Gon. Malah komuniti Korea Selatan juga gembira melihat Pan Gon berada berada di Malaysia bersama pasukan negara.
“Saya berharap mereka akan terus maju,” jelas Hannah.
Keputusan ini juga turut akan memberikan motivasi yang terbaik buat Pan Gon dan anak buahnya untuk menghadapi Pestabola Merdeka pada Oktober disusuli aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 pada November dan seterusnya mengibarkan cabaran di Piala Asia yang akan diadakan di Qatar.
Saingan Piala Asia pada Januari 2024 menyaksikan Malaysia diletakkan dalam Kumpulan E bersama-sama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.