'Berpeluh' pujuk Orang Asli sertai Akademi JDT

‘Berpeluh’ pujuk Orang Asli sertai Akademi JDT

SA'AP Baharom memenangi pelbagai kejohanan peringkat umur 12 tahun yang dipertandingkan di Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Ketua Unit Pencarian Bakat dan Pembangunan Belia Johor Darul Takzim (JDT) , Diego Griffa terpaksa bermandi ‘peluh’ selama empat jam memujuk serta melamar permata dari masyarakat Orang Asli, Sa’ap Baharom untuk skuad akademi Harimau Selatan.

Usaha itu turut dibantu oleh kemahiran ‘memujuk’ yang dimiliki oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Amran Arifin bersama Tok Batin di Perkambung Orang Asli Felda Aring 5.

Bagaimanapun, segala kepenatan menempuh laluan berbatu dan tanah merah lebih 30 minit dari Cabang Felda Aring 5 ‘hilang’ sejurus Sa’ap bersetuju untuk menerima tawaran daripada pasukan Harimau Selatan itu.

Jurulatih Pasukan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah (MSSD) Gua Musang, Mohd. Zamrul Azhan Seman, 44, berkata, dia berbangga dengan pencapaian yang dimilik oleh Sa’ap dan menyifatkan anak Orang Asli dari suku Batek itu sebagai pertama baharu bola sepak Kelantan.

Mohd. Zamrul berkata, pemain berumur12 tahun dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi itu wajar berada pada kemuncak prestasi selepas mempamerkan disiplin tinggi dan sering bekerja keras setiap kali beraksi di atas padang.

“Saya berterima kasih kepada rakan, seorang guru di SK Pasir Linggi iaitu Mohamad Mujahid Othman yang telah mengesan awal bakat Sa’ap. Peringkat awal, sebaik sahaja mengetahui bakat Sa’ap, rakan telah membawanya untuk menjalani sesi latihan.

“Semasa pemilihan saya mula mengesan bakat ‘unik’ yang dimiliki oleh Sa’ap dan jarang dimiliki oleh individu lain sehingga membantu Gua Musang muncul juara peringkat Majlis Sukan Sekolah-sekolah Kelantan (MSSK) tahun ini,” katanya.

SA’AD Baharom ketika bersama skuad bawah 12 tahun Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kelantan (MSSK)

Mohd. Zamrul memberitahu, nama Sa’ap mula meletup sewaktu mewakili Kelantan pada kejohanan peringkat kebangsaan yang berlangsung di Jitra, Kedah tahun lalu.

Katanya, aksi cemerlang itu telah menyebabkan berberapa pasukan pembagunan bola sepak mula bertanya mengenai kelibat Sa’ap.

“Tuah terus berpihak kepada Sa’ap apabila memperagakan aksi cemerlang dan berjaya meledak 12 gol. Griffa sendiri telah turun padang untuk melihat aksi setiap kali Sa’ap bermain.

“Selepas tamat perlawanan, Akademi JDT menyatakan minat yang tinggi untuk melamar Sa’ap. Semua penantian itu berakhir semalam apabila bapa kepada kanak-kanak itu, Baharom Pinang setuju menerima lamaran JDT,” ujarnya.

Dalam pada itu, Amran menyifatkan kejayaan Sa’ap itu mampu menjadi contoh kepada remaja dan pemuda Orang Asli lain untuk berjaya dalam arena sukan.

Katanya, dia mendoakan semoga Sa’ap mampu menjadi pemain profesional pada masa hadapan dan beraksi untuk pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa.

“Sa’ap merupakan anak Orang Asli pertama yang berjaya memahat sejarah ini. Pada 21 September ini, dia akan berangkat ke JDT untuk berlatih seterusnya mengejar cita-cita bergelar sebagai pemain profesional,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya