Tempat ketiga boleh jadi pengubat duka

Tempat ketiga boleh jadi pengubat duka

PEMAIN tengah negara, Fergus Tierney (dua, kiri) cuba melepasi asakan dua pertahanan Vietnam dalam separuh akhir Kejohanan AFF B-23 di Rayong, Thailand semalam. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad bawah 23 tahun (B-23) Malaysia perlu turun dengan misi menumpaskan Thailand dalam  penentuan tempat ketiga Kejohanan AFF B-23 esok bagi menjaga imej dan maruah negara.

Cerita dibelasah 4-1 dalam separuh akhir kepada Vietnam semalam perlu ditutup segera oleh anak-anak buah E. Elavarasan dan bangkit untuk pulang selaku pemenang tempat ketiga pada edisi kali ini.

Biarpun tempat ketiga juga gagal menepati sasaran yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sekurang-kurangnya ada sesuatu yang boleh menggembirakan peminat bola sepak tempatan.

Bagaimanapun, skuad B-23 negara perlu sedar bahawa lawan menanti mereka petang ini bukan calang-calang kerana tuan rumah, Thailand pastinya mahu menebus maruah mereka selepas disingkirkan Indonesia pada peringkat separuh akhir.

Bekas Jurulatih Harimau Muda, Azraai Khor Abdullah berkata, skuad negara perlu sekurang-kurangnya berada di tempat ketiga bagi menjaga air muka Malaysia selain mereka juga skuad penentu masa depan bola sepak Malaysia.

“Apa yang penting anak-anak buah Elavarasan kena bermain secara berpasukan untuk menang, kalau kita lihat dalam aksi menentang Vietnam di separuh akhir, kita bermain secara tidak sistematik dan banyak melakukan kesilapan tidak sepatutnya.

“Pemain juga seolah-olah bermain tidak seperti dirancang dan tidak tahu apa yang perlu dibuat di atas padang. Ini masalah utama yang perlu kita akui dan saya fikir Elavarasan juga berdepan kesukaran kerana persediaan dalam tempoh yang singkat.

“Sekarang, kita fokus untuk penentuan perlawanan tempat ketiga dan keempat, saya berharap pemain dapat memanfaatkan segala peluang yang ada dan tidak melakukan kesilapan yang menghadiahkan situasi bola mati kepada Thailand,” kata Azraai kepada Utusan Malaysia.

AZRAAI KHOR ABDULLAH

Mengulas mengenai kekalahan Malaysia kepada Vietnam, Azraai berkata, dia tidak tahu lagi apa yang boleh diperkatakan kerana Malaysia sentiasa kalah apabila bertemu Vietnam di mana-mana kejohanan.

“Tiap-tiap kali jumpa Vietnam kita tewas, apa yang sebenarnya yang kita buat? persediaan mungkin tidak cukup…mudah hilang bola. Jika nak banding dengan mereka, kita jauh ketinggalan. Mereka sejak 2010 dah buat perubahan drastik atas padang,” katanya.

Dalam pada itu, Azraai tidak menafikan bahawa ada beberapa pemain mendapat pendedahan yang baik dalam edisi kali ini dan boleh menjadi harapan negara dalam kejohanan yang akan datang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN