PETALING JAYA: Rozaimi Rahamat menegaskan, dia tidak berdendam dengan Kelantan FC, sebaliknya hanya mempunyai isu dengan pemilik kelab, Norizam Tukiman atau dikenali sebagai Zamsaham.
Penjaga gol berusia 27 tahun itu tidak menolak kesediaan untuk kembali ke The Red Warriors (TRW) jika kelab bertukar pemilik.
Semalam, Norizam diberi tempoh 14 hari untuk memberikan respons terhadap notis tuntutan (LOD) yang dikemukakan Rozaimi berhubung kenyataan berunsur fitnah.
Rozaimi dalam sidang akhbar bersama peguam dari Saipul Baharim & Associates dan Khairul Asri & Co menjelaskan, tindakan undang-undang diambil bagi membersihkan namanya.
“Banyak orang salah anggap dengan tindakan saya, yang sebetulnya saya ambil tindakan ini bukan kerana isu gaji tetapi sebab maruah, fitnah yang dilemparkan sebab dia (Norizam) kata saya nak boikot perlawanan.
“Sebagai manusia saya ada maruah dan saya mahu tegakkan benda yang betul, sebelum ambil tindakan undang-undang saya dah cuba hubungi pihaknya secara peribadi tetapi tiada respons.
“Saya juga ada timbang rasa dalam diri, selagi mereka boleh mengaku apa yang mereka lakukan dan bersihkan apa yang berlaku, saya boleh pertimbangkan tetapi sekarang saya ikut nasihat peguam saya,” katanya.

Pada 3 Jun lalu, dalam video program bersama penyokong, Norizam telah mengeluarkan kenyataan yang disifatkan sebagai fitnah.
“Dalam tuntutan tersebut, kami meminta Zamsaham membuat permohonan maaf secara terbuka dan bertulis. Permohonan bertulis itu hendaklah diterbitkan selama tujuh hari di platform media sosial Zamsaham dan TRW. Dua hari pula disiarkan di dua akhbar tempatan.
“Tuntutan kedua pula berbentuk kewangan. Kami tidak letak lagi jumlah kerana belum diputuskan, mungkin ada perbincangan dari pihak sana (Zamsaham),” kata Saiful Baharim Abd. Rahman peguam yang mewakili Rozaimi.
Sementara itu Rozaimi menegaskan, hubungannya dengan pemain TRW adalah baik, malah saling bertanya khabar.
“Saya mempunyai hubungan baik dengan bekas rakan sepasukannya. Saya tak nak orang kata yang saya tak puas hati dengan Kelantan, saya dengan kelab baik sahaja, apabila mereka bermain saya akan ucapkan good luck.
“Jika Kelantan bertukar pemilik satu hari nanti memang jujur saya katakan saya nak kembali, saya suka suasana di Kelantan kerana penyokongnya sentiasa beri dorongan,” katanya.
Ditanya tentang status gajinya di Kelantan, Rozaimi berkata, segala tunggakan gaji telah diselesaikan namun, pembayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih tertunggak.