KULAI: Tindakan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) mengeluarkan arahan penutupan selama 30 hari terhadap sebuah premis pergigian swasta yang didapati mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik adalah terlalu berat.
Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, arahan penutupan itu juga tampak tidak bertepatan dengan kesalahan yang dibuat selepas perbuatan itu didapati tidak disengajakan.
Katanya, perbuatan itu juga telah disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menyatakan perbuatan itu bukan berniat mencabar kedaulatan negara.
“Saya bukan mahu mempertahankan perbuatan yang dilakukan premis itu, ia adalah perbuatan yang salah tetapi ia tidak disengajakan. Cuma, arahan penutupan premis selama 30 hari itu terlalu lama.
“Hukuman itu sepatutnya boleh dipertimbangkan. Bagaimana sekiranya kesilapan itu dilakukan oleh sebuah kilang yang mempunyai pekerja yang ramai. Tentunya ia memberi implkasi yang sangat buruk,” katanya.
Khamis lalu, Yang Dipertua MPPn, Abdul Azim Shamsuddin mengesahkan pihaknya sudah menyerahkan notis penutupan kepada sebuah klinik yang didapati mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik sehingga tular di media sosial.
Menurut Abdul Azim, tindakan itu diambil selepas pemeriksaan mendapati premis berkenaan melanggar Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan MDP 2019, iaitu berhubung kewajipan pengibaran bendera.
Tindakan MPPn tersebut mendapat reaksi pelbagai daripada pelbagai pihak baik yang menyokong mahupun mengecam tindakan berkenaan.
Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, dia turut berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dapat mempertimbang hukuman yang lebih ringan.
“Ketika saya mengadakan program mengedar Jalur Gemilang, ramai orang yang meluahkan rasa bimbang kalau tersalah gantung bendera Malaysia. Ada juga yang berpendapat tak perlu gantung kerana tidak akan berdepan sebarang isu.
“Bagi saya, amat penting untuk kita menghormati Jalur Gemilang sebagai satu tanda cintakan negara, sepatutnya tidak timbul isu pasang bendera terbalik,” ujarnya. – UTUSAN









