DOHA: Saluran televisyen Alkass Qatar mengeluarkan pengumuman mengejut hari ini apabila mendakwa bintang bola sepak Mesir, Mohamed Salah bersedia untuk meninggalkan Liverpool dan berpindah ke Arab Saudi.
Media sebelum ini melaporkan, kelab Liga Pro Saudi, Al-Ittihad mahu Salah menyertai pasukan mereka pada musim panas 2023, dengan kontrak dua tahun.
Alkass mendedahkan dalam Twitter rasminya mendedahkan: “Pemain antarabangsa Mesir Mohamed Salah telah memberi ‘lampu hijau’ kepada kelab Saudi, Al-Ittihad untuk berunding dengan Liverpool agar dia boleh menyertai Al-Ittihad pada jendela perpindahan musim panas.”
Laporan terbaru itu mencetuskan persoalan sama ada ia ada kaitan dengan insiden Salah tidak puas hati dengan jurulatihnya, Jurgen Klopp ketika Liverpool seri 1-1 menentang Chelsea dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris kelmarin.
Salah digantikan pada minit ke-77 bagi memberi laluan kepada Ben Doak, dan kamera televisyen menunjukkan reaksi wajah pemain Mesir itu tidak berpuas hati sambil melemparkan balutan di tangannya ketika keluar padang. Dia juga langsung tidak bersalaman dengan Klopp. – AGENSI