MUNICH: Harry Kane meninggalkan ucapan selamat tinggal yang penuh emosi kepada penyokong Tottenham selepas melengkapkan perpindahan ke Bayern Munich bernilai 104 juta (RM606 juta) hari ini.
Sejurus lulus ujian perubatan, kapten England itu menandatangani kontrak empat tahun dengan gaji 400,000 pound (RM2.4 juta) seminggu.
Dia juga bersedia membuat penampilan sulung bersama Bayern apabila juara Bundesliga itu menentang RB Leipzig dalam Piala Super Jerman awal pagi esok (2.45 pagi waktu Malaysia).
Beberapa saat sebelum Bayern secara rasmi mengumumkan ketibaannya, Kane, 30, muncul dalam video perpisahan penuh emosi selepas mengharungi 19 tahun yang cemerlang bersama Tottenham.
Dalam video yang dimuat naik di Instagram, penyerang terbaik England itu berkata: “Saya mahu menjadi yang pertama memberitahu peminat Tottenham bahawa saya akan meninggalkan kelab hari ini.
“Jelas sekali banyak emosi menyelubungi saya sekarang, sedih kerana meninggalkan kelab yang saya habiskan hampir 20 tahun dalam hidup saya, daripada budak lelaki berusia 11 tahun kepada lelaki berusia 30 tahun sekarang.
“Terdapat begitu banyak detik hebat dan kenangan istimewa, kenangan yang akan saya hargai selama-lamanya.
“Jadi, ini ucapan terima kasih kepada semua rakan sepasukan. Jurulatih saya, semua pengurus, setiap kakitangan yang terbabit dengan kelab.”
Kane berkata, dia merasakan sudah tiba masanya untuk meninggalkan kelab London itu selepas dua dekad dan bersedia memburu trofi bersama Bayern.
“Saya rasa sudah tiba masanya untuk pergi. Saya tidak mahu memasuki musim dengan banyak perbincangan tentang masa depan yang tidak dapat diselesaikan,” tulis Kane di media sosial. – AGENSI