ALOR SETAR: Gugurnya air mata Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah selepas berakhir perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kelmarin, cukup untuk menceritakan segala-galanya mengenai debaran, kepayahan serta pahit getir Bos Gaurus.
Meskipun kalah 2-1, namun kemenangan 3-1 yang dilakar ke atas juara lima kali, Kedah dalam aksi pertama di Ipoh pada 3 Ogos lalu membolehkan Perak mara ke suku akhir Piala Malaysia secara agregat 4-3.
Semua tampak tidak memihak Perak di awal permainan, bermula dengan gol Luka Milunovic tidak dikira pada minit ke-12 akibat ofsaid, layangan kad merah Khairul Asyraf Ramli di minit ke-54 dan jaringan kedua Kedah yang terhasil akibat bola terbias di kaki pemain Perak sendiri.
Selepas membuka jaringan menerusi Manuel Hidalgo pada minit ke-28, Akmal Zahir memberi keceriaan kepada penyokong Kedah di Stadium Darul Aman dengan menyamakan kedudukan secara agregat pada minit ke-82.
Begitupun, penyerang kelahiran Korea Selatan, Seo Seon-ung memberi ‘nyawa’ kepada Perak dengan meledak gol pada minit ke-86 yang cukup untuk meneruskan cabaran mereka.

“Ia 90 minit yang cukup mendebarkan dan saya sendiri sebenarnya merasakan perjuangan kami akan tamat bila Kedah menjaringkan gol kedua.
“Apabila kami kekurangan seorang pemain, pasukan tuan rumah jelas mengasak bertali arus dan saya cukup risau sekiranya pemain-pemain kami merasa gugup hingga membawa kepada kesilapan mudah.
“Kami menentang pasukan yang kuat dan sejak awal, saya sedar kelebihan dua gol yang dibawa ke sini tidak cukup.
“Jujurnya saya hanya harap agar kami mampu bertahan hingga penentuan sepakan penalti tetapi syukur gol yang dicari-cari akhirnya dihasilkan Seonung bagi membolehkan kami mara ke pusingan seterusnya,” katanya.
Sementara itu, pengendali Kedah, Nafuzi Zain hilang kata-kata pasukannya bukan sahaja gagal memanfaatkan kelebihan berdepan 10 pemain lawan pada 34 minit terakhir, malah membenarkan Bos Gaurus mencetak gol.
“Tiada apa yang boleh saya kata tentang perlawanan ini kerana dari awal sampai minit-minit terakhir, pemain sudah beri segalanya.
“Kita sudah berikan 100 peratus serta menampakkan keinginan dan usaha untuk menang.
“Kami mendahului 2-0 dan ketika itu, kami sudah bersedia untuk masa tambahan. Namun akibat kesilapan sendiri, kita dihukum. Maka saya speechless,” katanya.