Mike Atlet Terbaik pilihan penulis-penulis sukan tanah air

Mike Atlet Terbaik pilihan penulis-penulis sukan tanah air

MOHD. Syarul Azman Mahen Abdullah (kanan) dan Cheah Liek Hou (kiri) bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh selepas dinobat sebagai Atlet Terbaik serta Atlet Para Terbaik dalam Anugerah SAM-100PLUS 2022 malam tadi. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penantian jaguh bina badan dunia, Datuk Mohd. Syarul Azman Mahen Abdullah untuk  meraih pengiktirafan akhirnya tercapai apabila dinobatkan sebagai Atlet Terbaik pada Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2022, sebentar tadi.

Syarul yang mesra disapa Mike menewaskan empat lagi calon hebat antaranya beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, jaguh snuker Lim Kok Leong, pemenang dua pingat emas Sukan Komanwel Birmingham, Muhammad Aniq Kasdan serta atlet gimrama, Ng Joe Ee yang juga Olahragawati Kebangsaan 2022.

Sejak mewakili negara pada 2009 dan memenangi hampir semua kejuaraan yang ditawarkan, ini adalah anugerah pertama yang diterima oleh anak jati Kuala Lumpur itu.

Syarul, 50, diangkat sebagai Atlet Terbaik 2022 berdasarkan pencapaiannya merangkul gelaran juara dunia yang kelima pada Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia di Phuket, Thailand pada Disember tahun lalu.

Anugerah ini merupakan pengubat duka buat Syarul setelah kerap gagal untuk mengungguli gelaran Olahragawan Kebangsaan biarpun tercalon sebagai finalis sebanyak empat kali sejak 2016 di Anugerah Sukan Negara (ASN).

Kali terakhir atlet dari sukan bina badan menjadi penerima Anugerah Atlet Terbaik SAM-100PLUS pada 2013 menerusi Sazali Samad.

Bagi anugerah Atlet Para Terbaik 2022 pula dimenangi juara dunia tujuh kali badminton para, Cheah Liek Hou.

Pemain dunia No. 1 ini mengharungi musim menakjubkan pada 2022 apabila unggul mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang tahun lalu.

Liek Hou berjaya mengenepikan empat lagi jaguh para negara antaranya pemegang rekod dunia powerlifting, Bonnie Bunyau, Nani Shahiera Zawawi (olahraga) serta dua atlet renang Brenda Anellia Larry dan Carmen Lim.

Sebagai pemenang, Mike dan Liek Hou membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta trofi, dan anugerah disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

PEMENANG ANUGERAH SAM-100PLUS 2022

ATLET TERBAIK: Datuk Mohd. Syarul Azman Mahen Abdullah (bina badan)
ATLET PARA TERBAIK: Cheah Liek Hou (badminton)
TOKOH KEPIMPINAN SUKAN: Tan Sri Mohamad Norza Zakaria
ANUGERAH KHAS 100PLUS: Muhammad Azeem Fahmi (olahraga)
ATLET MUDA TERBAIK: Muhammad Hakim Danish Ramli (permotoran)
PERSATUAN DINAMIK: Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya