Malaysia negara Asia pertama jadi tuan rumah tuan rumah WDFC

Malaysia negara Asia pertama jadi tuan rumah WDFC

ADAM Adli Abd. Halim (empat dari kanan) bersama beberapa pemain skuad kebangsaan yang menerima penajaan Cheetah untuk jersi Malaysia. – UTUSAN/AIZAWATI AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Malaysia melakar sejarah muncul sebagai negara Asia pertama dipilih menjadi tuan rumah Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Dunia (WDFC) ke-4 yang akan berlangsung di venue terpilih di sekitar Lembah Klang pada 23 September-7 Oktober depan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim berkata, ia menjadi satu penghormatan Malaysia terpilih menjadi tuan rumah mengetepikan Korea Selatan yang turut membida untuk menganjurkan kejohanan tersebut.

“Ini satu pencapaian membanggakan, justeru saya menyeru rakyat Malaysia supaya memberikan sokongan kepada skuad kebangsaan yang juga akan tampil buat kali pertama pada kejohanan itu.

“Walaupun, pada ketika itu temasya Sukan Asia sedang berlangsung di Hangzhou, China, tetapi saya yakin sokongan akan tetap diberi kepada pasukan kebangsaan, lagi pun, pertandi­ngan diadakan di negara ini serta bersifat domestik, Sukan Asia dibuat di luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis memperkenalkan skuad bola sepak kebangsaan orang pekak bersempena WDFC ke-4 di sini, semalam, yang turut dihadiri Presiden Persatuan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Ong Shin Ruenn.

Adam Adli berharap, pasukan negara dapat mempamerkan prestasi yang baik lebih-lebih lagi mereka beraksi di tanah air sendiri dan ia secara tidak langsung mengangkat prestij sukan itu dalam kalangan orang pekak.

Sementara itu, jurulatih skuad orang pekak negara, Muhamad Haris Lajid ketika ditemui pula memberitahu, pihaknya mensasarkan kedudukan 10 terbaik daripada 20 negara yang telahpun mengesahkan kehadiran.

“Turki merupakan juara bertahan, buat masa ini, kita masih belum tahu Malaysia diletakkan dalam kumpulan mana, memandangkan undian terpaksa dibuat semula setelah beberapa negara menarik diri yang menyaksikan 20 pasukan mengesahkan akan beraksi berbanding lebih 30 pasukan sebelum ini,” ujarnya.

Mengulas mengenai persediaan, Haris mengakui, dia baru sahaja beberapa bulan lepas mengambil alih skuad negara dan persediaan telahpun bermula sejak Jun lalu.

“Tetapi saya tidak bimbang kerana kesemua pemain kita berpengalaman luas beraksi di pentas antarabangsa dan kita telah memulakan latihan secara berperingkat dan ketika ini, skuad negara berlatih di Majlis Sukan Negara,” jelasnya.

Pada majlis itu juga, MSDeaf turut menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Record apabila menjadi negara Asia pertama menganjurkan kejohanan dunia itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN