LONDON: Romelu Lukaku akan kembali ke Itali dan bergabung semula dengan Jose Mourinho selepas Chelsea bersetuju meminjamkan penyerang Belgium itu kepada kelab Serie A, Roma.
Menurut laporan media, Roma akan membayar 8 juta pound (RM47 juta) kepada Blues, manakala Lukaku menerima gaji 7.5 juta euro (RM37.80 juta) setahun.
Penyerang berusia 30 tahun itu akan tiba di Rome hari ini untuk menjalani ujian kesihatan.
Di Roma, Lukaku bakal bergandingan semula dengan Mourinho yang pernah melatihnya ketika berada di Chelsea dan Manchester United.
Pada 2021, Lukaku kembali ke Chelsea dengan harga 115 juta euro (RM580 juta) dari Inter Milan.
Dia sebelum itu menyarung jersi Blues buat kali pertama pada 2011 dan berpindah ke Everton pada 2014 sebelum menyertai United dan Inter Milan.
Lukaku dipinjamkan ke Inter sepanjang musim lalu dan berjaya meledak 14 gol.
Roma sudah menandatangani Sardar Azmoun dari Bayer Leverkusen sebagai pemain pinjaman, dan gandingan tengah Paris Saint-Germain, Leandro Paredes serta Renato Sanches (pinjaman).
Roma mengumpul satu mata selepas dua perlawanan pertama Serie A musim ini. – AGENSI