PETALING JAYA: Pengendali skuad bawah 23 tahun (B-23) Malaysia, E. Elavarasan mengakui, Vietnam lawan yang bakal ditentang dalam separuh akhir Kejohanan AFF B-23 hari ini dibarisi ramai pemain berkualiti dan mempunyai kelebihan.
Begitupun anak-anak buahnya bersedia memberi tentangan paling sengit kepada juara bertahan itu, dan sudah dipersiapkan untuk berdepan perlawanan di Stadium Rayong Provincial, Thailand.
“Bagi saya di rantau Asia Tenggara, Vietnam adalah pasukan yang bagus. Pemain-pemain Vietnam juga berkualiti dan mereka sering memperoleh kejayaan dalam kejohanan yang disertai mereka.
“Jika tanya saya pemain mana yang perlu diberikan tumpuan, jawapannya semua kerana mereka bermain dengan baik secara berpasukan,” kata Elavarasan.

Skuad B-23 tahun negara layak ke separuh akhir selaku juara Kumpulan B selepas menundukkan Indonesia 2-1 dalam aksi pertama dan menumpaskan Timor Leste 3-1 kelmarin.
Vietnam pula layak selaku juara Kumpulan C dengan merekodkan kemenangan 4-1 ke atas Laos dan menewaskan Filipina 1-0 kelmarin.
Elavarasan berkata, beliau amat gembira kerana matlamat untuk menjuarai peringkat kumpulan tercapai, kini fokus harus beralih kepada misi memburu tiket final.
“Pertama sekali tahniah kepada pasukan kerana layak ke separuh akhir buat kali pertama dalam empat tahun dan kita datang dengan matlamat untuk menang dan pemain mencapainya,” katanya.
Beliau melakukan pertukaran dalam kesebelasan ketika bertemu Timor Leste bagi menilai prestasi pemain sebelum bertemu Vietnam.