LONDON: Jurgen Klopp menggesa badan bola sepak dunia, FIFA agar ‘melindungi’ bola sepak Eropah daripada ancaman pembelian besar-besaran kelab Arab Saudi.
Pengurus Liverpool itu bimbang dengan tempoh jendela perpindahan Liga Pro Saudi yang akan ditutup pada 20 September berbanding Eropah iaitu 1 September.
“Perkara yang paling teruk ialah jendela perpindahan di Arab Saudi dibuka selama tiga minggu lebih lama. Sekurang-kurangnya di Eropah, itu tidak membantu.
“Jadi FIFA dan UEFA (badan bola sepak Eropah) mesti mencari penyelesaian.
“Nampaknya Arab Saudi mempunyai pengaruh sangat besar,” katanya.
Kata Klopp kelab-kelab Arab Saudi boleh menyebabkan malapetaka dengan mencetuskan klausa pelepasan untuk bintang-bintang dunia, menyebabkan kelab Eropah sukar menyekat apabila pemain-pemain ditawarkan gaji lumayan.

Reds berdepan masalah terutama di jentera tengah apabila kehilangan kapten, Jordan Henderson kepada Al-Etiffaq dengan harga 12 juta pound (RM69.67 juta) dan Fabinho kepada Al-Ittihad dengan harga 40 juta pound (RM232 juta).
Sementara itu, Roberto Firmino menyertai Al-Ahli selepas kontraknya di Anfield tamat.
Klopp juga terpaksa menangkis tawaran 43 juta pound (RM249.6 juta) oleh Al-Hilal untuk penyerang Colombia, Luis Diaz.
Sementara itu, Bos Manchester City, Pep Guardiola turut memberi amaran mengenai ‘ancaman’ kelab daripada Arab Saudi apabila telah kehilangan Riyad Mahrez yang menyertai Al-Ahli. – AGENSI