Kereta mewah, rumah 25 bilik antara permintaan luar biasa Neymar

Kereta mewah, rumah 25 bilik antara permintaan luar biasa Neymar

NEYMAR diperkenalkan secara rasmi sebagai bintang baharu kelab Arab Saudi, Al-Hilal semalam. – IHSAN AL-HILAL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pesawat peribadi, rumah agam 25 bilik, lapan kereta mewah dan gaji lumayan antara permintaan ‘luar biasa’ Neymar sebelum bersetuju menyertai Al-Hilal.

Semalam, bintang penyerang Brazil itu melengkapkan perpindahan ke Al-Hilal dengan kontrak dua tahun dan gaji 2.5 juta pound (RM14.7 juta) seminggu.

Selepas enam tahun bersama Paris Saint-Germain (PSG), Neymar meninggalkan gergasi Perancis tersebut dengan yuran 78 juta pound (RM459 juta).

Menurut akhbar The Sun, bekas bintang Barcelona itu meminta pemilik Al-Hilal menyediakan tiga kereta mewah buat dirinya, manakala empat Mercedes G Wagons serta satu van Mercedes untuk pengiringnya.

Neymar juga meminta pemandu yang bersedia 24 jam setiap hari sepanjang tahun buat dirinya, rakan-rakan dan ahli keluarga.

Kereta mewah yang diminta Bentley Continental GP, Aston Martin DBX dan Lamborghini Huracan, yang jika digabung bernilai 510,000 pound (RM3 juta).

Di rumah, Neymar mahu peti aisnya sentiasa diisi dengan minuman jus Acai jenama ke­gemarannya, selain minuman Guarana untuk rakan-rakan dan keluarga.

Dia turut meminta tiga sauna dibina di rumah, selain lima pekerja sepenuh masa, terma­suk chef sous bagi membantu tukang masak peribadinya dari Brazil serta dua orang pekerja pembersihan.

Sumber memberitahu The Sun, Neymar meminta semua kos penginapannya di hotel, restoran dan bandar yang mungkin dilawati pada hari tiada perlawanan ditanggung sepenuh­nya oleh pemilik Al-Hilal.

Dalam terma peribadinya turut tertulis, Neymar mahu menggunakan jet peribadi bila dia atau keluarganya memerlukan untuk bercuti.

Dia juga mahukan kolam renang di rumah dengan ukuran sekurang-kurangnya 10 meter lebar dan 40m panjang.

Rumah itu perlu minimum 25 bilik bagi membolehkan rakan-rakannya, keluarga, pengi­ring serta pembantunya tinggal ­bersama. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN