LONDON: Juara bertahan, Manchester City akan berdepan ujian besar pertama dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini apabila menerima kunjungan pasukan sedang meningkat, Newcastle United hari ini.
Skuad bimbingan Pep Guardiola memulakan musim dengan kemenangan selesa 3-0 ke atas Burnley, manakala anak-anak buah Eddie Howe pula membedil Aston Villa 5-1.
Kedua-dua pasukan yang dimiliki ‘hartawan minyak’ dari Arab telah berbelanja besar untuk menguatkan skuad masing-masing, dan pada ketika kekayaan City telah membantu mereka mengecapi pelbagai kejayaan bersediakah Newcastle memberi cabaran?
Sejak diambil alih oleh konsortium dari Arab Saudi pada hujung 2021, Newcastle menunjukkan peningkatan, malah menamatkan musim lalu di tangga keempat di belakang City, Arsenal dan Manchester United.
Begitupun City yang dimiliki hartawan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mansour tampak lebih unggul, terutama selepas kehadiran Erling Haaland yang menjadi penjaring terbanyak musim lalu.
Mereka juga menutup kempen dengan menjulang Liga Juara-Juara, Liga Perdana dan Piala FA.
Memasuki musim baharu, Haaland terus mengganas dengan meledak dua gol ketika pasukan itu menumpaskan Burnley, malah City masih segar dengan kejayaan menjulang Piala Super UEFA kelmarin dengan mengalahkan Sevilla menerusi penentuan sepakan penalti.
Kebimbangan Citizens ketika ini adalah kehilangan maestro mereka, Kevin De Bruyne yang mengalami kecederaan hamstring pada ketika pasukan sudah pun kehilangan jeneral padang seperti Riyad Mahrez (ke Arab Saudi) dan Ilkay Gundogan (Barcelona).
Lebih meresahkan City tahap kecergasan pemainnya yang terpaksa mengharungi jadual terlalu padat.
"I don't know how Matt Ritchie's got the blame for that!" 😂
— Newcastle United FC (@NUFC) August 18, 2023
Mereka hanya berehat dua hari selepas aksi menentang Sevilla di Athens, hingga mendorong Guardiola menyindir pengelola EPL dengan mengucapkan terima kasih.
“Terima kasih banyak-banyak kepada EPL kerana membenarkan kami bermain pada Sabtu, dan bukan Ahad atau Isnin,” kata Guardiola sinis.
Aksi di Etihad akan menjadi perlawanan keempat City dalam masa dua minggu, dan beraksi tanpa De Bruyne yang diketepikan empat bulan selepas mengalami ketika ketika menentang Burnley menyukarkan keadaan.
Newcastle sebaliknya mempunyai tempoh rehat yang panjang dan masih bersemangat selepas membelasah Aston Villa 5-1.
Dalam pertemuan pertama menentang City sejak diambil alih oleh hartawan Arab, mereka berjaya mengikat perlawanan 3-3 di St James’ Park pada Ogos lalu, tetapi Newcastle kalah 2-0 di Etihad pada aksi terakhir, Mac lalu.
Newcastle belum pernah memenangi perlawanan Liga Perdana di Etihad tetapi ketibaan pemain Itali, Sandro Tonali meningkatkan kemampuan barisan tengah mereka yang sudah mantap menampilkan pemain antarabangsa Brazil, Bruno Guimaraes dan Joelinton. – AGENSI