NEWCASTLE: Pengurus Newcastle United, Eddie Howe menghangatkan keadaan menjelang aksi Liga Perdana Inggeris menentang Liverpool hari ini apabila menegaskan, dia tidak sesekali menganggap pengendali Reds, Jurgen Klopp sebagai kawan.
Biarpun Howe pada awalnya mengagumi Klopp, namun insiden jaringan Fabio Carvalho pada waktu kecederaan di Anfield, tahun lalu masih ‘menyakitkan’ hatinya.
Newcastle tewas 2-1 dalam perlawanan itu selepas membuka jaringan menerusi Alexander Isak. Roberto Firmino menyamakan kedudukan 1-1 dan Carvalho meledak gol kemenangan Reds di minit ke-98.
Mereka tidak pernah mengalahkan Liverpool dalam 13 pertembungan sejak kemenangan terakhir (2-0) pada Disember 2015.

“Saya menghormati Klopp dan saya rasa dia telah melakukan kerjanya dengan baik. Dia pengurus yang luar biasa tetapi saya tidak menganggapnya sebagai kawan kerana istilah itu tidak wujud buat saya,” jelas Howe.
Newcastle membuka kempen musim baharu dengan kemenangan 5-1 ke atas Aston Villa, namun kalah tipis 1-0 kepada juara bertahan, Manchester City, Ahad lalu.
Liverpool pula bermula dengan seri 1-1 menentang Chelsea sebelum menang 3-1 ke atas Bournemouth biarpun beraksi dengan 10 pemain dalam 32 minit terakhir.

Newcastle memiliki skuad yang bagus musim ini terutama dengan kemasukan bintang tengah Itali, Sandro Tonali dari AC Milan, manakala Joelinton, Miguel Almiron, Alexander Isak dan Harvey Barne akan menjadi ancaman terbesar kepada Reds.
Liverpool sendiri mempunyai tiga pemain baharu yang mampu memainkan peranan besar, terutama Dominik Szoboszlai yang menunjukkan impak hebat di bahagian tengah.
Klopp juga dijangka meletakkan Alexis Mac Allister dan kapten Jepun, Wataru Endo dalam kesebelasan utama.