PETALING JAYA: Sri Pahang memerlukan jaringan pada waktu kecederaan menerusi pemain gantian, Baqiuddin Shamsudin untuk menumpaskan kelab amatur, Harini FT dalam perlawanan pertama, pusingan 16 terbaik Piala Malaysia sebentar tadi.
Dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi itu, Tok Gajah menurunkan kesebelasan terbaik biarpun hanya berdepan lawan dari Liga M3.
Dibarisi pemain bintang seperti Kpah Sherman, David Rowley dan Nor Azam Azih, anak-anak buah Fandi Ahmad tetap bergelut untuk mencari kemenangan.
Kelab Liga Super itu menguasai babak pertama dan mendahului perlawanan menerusi tandukan Rowley pada minit ke-20.
Begitupun memasuki separuh masa kedua, saingan mulai seimbang biarpun Syazwan Andik sempat menggandakan kedudukan 2-0 pada minit ke-54 menerusi gerakan solo.
Dibimbing jurulatih berpengalaman, P. Maniam, Harini memberi tentangan sengit dan berjaya merapatkan jurang menerusi Muhamad Fikri Shah pada minit ke-59.
Bekas penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha yang masuk sebagai gantian meledak gol penyamaan pada minit ke-74.
Ketika perlawanan hampir berakhir dengan seri, Baqiuddin muncul wira Tok Gajah apabila meledak gol kemenangan, dua minit memasuki waktu kecederaan.
Kemenangan 3-2 memberi kelebihan tipis buat Sri Pahang apabila menerima kunjungan Harini di Kuantan pada 20 Ogos depan. – UTUSAN ONLINE
LP