LONDON: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mendesak agar Presiden Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF), Luis Rubiales dikenakan penggantungan daripada semua aktiviti bola sepak selama 15 tahun.
RFEF yang selama ini berdiri di belakang Rubiales membuat pusingan U dengan menarik balik sokongan terhadap presiden berusia 46 tahun itu selepas FIFA mengancam akan mengharamkan skuad kebangsaan serta kelab Sepanyol daripada pertandingan antarabangsa.
Tindakan Rubiales mencium bibir tonggak Piala Dunia Wanita Sepanyol, Jenni Hermoso dalam upacara penyampaian hadiah di Sydney pada 20 Ogos lalu telah mendapat kritikan meluas.
Sumber yang terlibat dalam proses disiplin telah memberitahu Daily Mail bahawa FIFA mendesak hukuman maksimum 15 tahun dikenakan terhadap Rubiales.
FIFA juga mengancam akan mengambil tindakan terhadap skuad kebangsaan dan kelab Sepanyol jika arahan mereka diabaikan.
Minggu lalu, Rubiales digantung sementara 90 hari oleh FIFA, tetapi masih berjaya mengekalkan sokongan RFEF sehingga menunggu keputusan siasatan dalaman.
Begitupun selepas mengadakan mesyuarat lima jam kelmarin, RFEF mengesahkan mereka telah meminta Rubiales agar berundur.

Dalam satu lagi perkembangan semalam, Rubiales didakwa telah mengarahkan RFEF menulis surat kepada badan bola sepak Eropah, UEFA untuk campur tangan.
UEFA bagaimanapun menolak permintaan itu kerana proses tatatertib sedang dikendalikan oleh FIFA, dan menganggap surat itu tidak sah kerana Rubiales telah digantikan dengan presiden sementara, Pedro Rocha.
Dalam kenyataan lain yang dikeluarkan pada hujung minggu lalu, RFEF di bawah arahan Rubiales juga menuduh Hermoso berbohong.
Kenyataan RFEF menyebabkan Hermoso berang dan membalasnya dengan mengeluarkan kenyataan dalam media sosialnya.
FIFA berkemungkinan akan mengenakan larangan berpanjangan terhadap Rubiales selepas malu dengan kelakuannya dalam final Piala Dunia Wanita di Sydney, dua minggu lalu.
Selain mencium bibir Hermoso, rakaman video juga menunjukkan Rubiales memegang kelangkang pemain tengah berusia 33 tahun itu ketika meraikan kejayaan mereka merangkul kejuaraan dunia.
Insiden itu berlaku ketika mereka berada berdekatan Ratu Letizia dan anak perempuannya yang berumur 16 tahun.
Dalam perkembangan sama ibu Rubiales, Angeles Bejar, melakukan mogok lapar di sebuah gereja berhampiran Malaga membantah tuduhan terhadap anaknya. – AGENSI