PARIS: Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique sedang mempertimbangkan untuk meninggalkan gergasi bola sepak Perancis itu biarpun baru dilantik awal bulan lalu.
Bekas pengurus Barcelona itu dikatakan muak dengan konflik dalaman membabitkan pengurusan tertinggi dengan bintang penyerang mereka, Kylian Mbappe.
Masa depan Mbappe bersama juara Perancis itu tidak menentu selepas penyerang berusia 24 tahun tersebut enggan menyambung kontrak.
Susulan itu, PSG cuba menjual Mbappe pada musim panas ini bagi mengelakkan pemain itu meninggalkan Parc des Princes secara percuma apabila kontraknya tamat pada Jun 2024.
Situasi itu menyebabkan Enrique tidak selesa hendak meneruskan kerjanya, ditambah ketika ini pembantunya, Rafel Pol juga memikirkan perkara yang sama untuk meninggalkan kelab.
Enrique dibawa masuk pada musim ini bagi menggantikan Christophe Galtier yang membantu PSG memenangi kejuaaran Ligue 1 musim lalu.
PSG kemudian tampil menangkis semua dakwaan dengan menjelaskan kepada wartawan bola sepak ternama, Fabrizio Romano bahawa laporan Enrique akan meninggalkan PSG mengarut.

“Khabar angin ini mengarut kerana ia tidak tepat sama sekali,” kata jurucakap PSG.
Sementara itu, Mbappe baru-baru ini telah menerima 35 juta pound (RM202 juta) sebagai sebahagian bonus kesetiaan.
Dia diketepikan daripada kempen pramusim PSG di Jepun dan Korea ketika presiden mereka, Nasser Al-Khelaifi menggesanya agar menerima beberapa tawaran.
Kelab Arab Saudi, Al-Hilal mencipta rekod dunia apabila menawarkan 259 juta pound (RM 1.5 bilion) untuk mendapatkan kapten Perancis itu, tawaran yang diterima oleh PSG tetapi ditolak Mbappe. – AGENSI