LONDON: Arsenal membuktikan mereka sedia untuk menjadi pencabar Liga Perdana Inggeris sekali lagi musim ini selepas menafikan hajat penyandang juara, Manchester City dalam perebutan Piala Perisai Komuniti apabila menang menerusi penentuan sepakan penalti 4-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi masa sebenar yang berlangsung di Stadium Wembley sebentar tadi.
Kedua-dua pasukan menurunkan kesebelasan terbaik mereka dengan Arsenal menyenaraikan bintang baru, Declan Rice, Jurien Timber serta Kai Havertz, sementara City menurunkan Mateo Kovacic.
City tampak garang apabila menguasai awal perlawanan, namun Arsenal yang dibimbing Mikel Arteta kental bertahan sehingga tamat babak pertama.
Gol pertama perlawanan akhirnya berjaya diraih pada minit ke 77 setelah pemain muda City, Cole Palmer yang berjaya melencongkan bola untuk menewaskan penjaga gol Arsenal, Aaron Ramsdale.
Tatkala City sedang mencongak untuk mengangkat piala kejuaraan, Arsenal berjaya melakukan kebangkitan dramatik pada masa tambahan setelah rembatan pemain gantian, Leandro Trossard terkena pertahanan City, Manuel Akanji sebelum menerjah gawang untuk menyamakan kedudukan menjadi 1-1 sekaligus mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.
Malang buat City apabila sepakan Kevin de Bruyne terkena palang, manakala sepakan Rodri pula diselamatkan Ramsdale.
Arsenal pula unggul apabila Martin Odegaard, Trossard dan Bukayo Saka berjaya menyempurnakan sepakan masing masing sebelum Fabio Viera memastikan Arsenal pulang sebagai juara.
Kali terakhir Arsenal berjaya meraih piala ini adalah pada 2020 ketika menewaskan Liverpool menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa sebenar.