KUANTAN: Kehadiran tonggak import baharu, Kuvondik Ruziev dari Uzbekistan akan menjadi senjata buat Sri Pahang untuk mengutip tiga mata apabila menerima kunjungan Selangor FC dalam aksi Liga Super esok.
Pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad mengakui, hari yang dinanti-nantikan selama ini akhirnya tiba apabila berdepan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe di laman sendiri.
“Saya lega kerana pemain import baharu Pahang, Kuvondik Ruziev dari Uzbekistan tidak ada masalah untuk diturunkan bertemu Selangor petang esok, ” kata Fandi.
Kata Fandi, pemain berusia 28 tahun itu akan digandingkan dengan Nor Azam Azih bagi mencipta gerakan-gerakan dari bahagian tengah padang.
Begitupun beliau tidak pasti apakah seorang lagi import baharu Toh Gajah, Rafael Silva dari Brazil dapat diturunkan kerana masih terdapat beberapa masalah untuk diselesaikan.
“Mudah-mudahan kehadiran dua pemain import ini membantu dan pada masa sama prestasi pasukan akan lebih konsisten,” kata legenda bola sepak Singapura itu .

Fandi yakin peluang untuk memungut sekurang kurangnya satu mata agak seimbang kerana Selangor FC memiliki barisan pemain berpengalaman dan mantap, begitupun mereka turun dengan misi mencari kemenangan dan bukan seri.
“Kita harus waspada dengan gandingan pemain Selangor, terutama di sayap kiri dan kanan. Mereka memiliki kepantasan, selain pemain pengalaman di tengah dan pertahanan,” katanya.
Kedua-dua pasukan seri 1-1 dalam pertemuan pertama di Petaling Jaya, Mac lalu. Selangor kini menghuni tangga kedua liga dnegan 34 mata, manakala Pahang di tempat ketiga (31). – UTUSAN ONLINE