KUALA NERUS: Selepas tumpas 2-1 dalam perlawanan pertama di Paroi, Mac lalu, Terengganu FC (TFC) tidak mahu pertemuan kedua menentang Negeri Sembilan di laman sendiri malam ini akan berakhir dengan kekecewaan sekali lagi.
Pengendali Sang Penyu, Tomislav Steinbruckner berkata, keputusan hambar dalam dua perlawanan terakhir – seri 0-0 dengan PDRM (16 Julai lalu) dan seri 3-3 menentang Kuala Lumpur City (KL City) menambah kembimbangannya menjelang pertemuan tersebut.
“Selepas bertemu PDRM, kami ada tempoh lebih seminggu untuk persiapan menentang Negeri Sembilan dan pemain-pemain saya tahu mereka perlu meningkatkan prestasi.
“Bagaimanapun Negeri Sembilan bukan lawan yang mudah di bawah kendalian jurulatih berpengalaman (K. Devan). Jadi kami menjangkakan tentangan yang sengit dari pihak lawan.
“Apa pun saya berharap TFC dapat kembali ke landasan kemenangan bagi membaiki kedudukan dalam liga selepas hanya mengutip satu mata bertemu KL City dan PDRM sebelum ini,” kata jurulatih dari Croatia itu.

Sementara itu ketua pasukan TFC, Habib Haroon, optimis rakan-sepasukannya mampu mempamerkan corak permainan terbaik untuk memburu kemenangan di laman sendiri.
Tonggak tengah Bahrain berusia 23 tahun itu berkata, dia turut berhasrat menamatkan kemarau gol bersama TFC selepas kali terakhir muncul penjaring pada musim lalu.
“Kami sudah beraksi dengan baik namun nasib tidak menyebelahi dalam beberapa perlawanan sehingga keciciran mata dan terlepas peluang menempatkan diri di kelompok atasan liga.
“Namun saya percaya kami mampu menamatkan baki saingan dengan lebih positif terutama selepas kehadiran pemain baru seperti Norhakim (Hassan) dan Nurillo (Tukhtasinov),” katanya.
TFC yang bergelut dengan prestasi selain turut dikritik penyokong sendiri kini berada di tangga keenam memungut 25 mata manakala Negeri Sembilan di tempat kesembilan dengan 20 mata.