Ahmad Marzuk diberi peringatan jangan sentuh Akta Rahsia Rasmi

PARLIMEN: Ahmad Marzuk diberi peringatan jangan sentuh Akta Rahsia Rasmi

AHMAD MARZUK SHAARY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor mengingatkan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) supaya berhati-hati membangkitkan dokumen rasmi yang tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) ketika berbahas di Dewan Rakyat.

Ramli berkata, walaupun Peraturan Mesyuarat 63 memberi perlindungan kepada ahli Dewan Rakyat, ia tidak bermakna mereka terlepas daripada implikasi undang-undang.

“Memang dalam Dewan Rakyat kita dilindungi Peraturan 63. Tetapi dokumen rasmi tetap kekal rahsia dan apa yang disebut di sini turut didengari di luar.

“Jika ada maklumat yang jatuh dalam kategori ini, pihak berkuasa termasuk PDRM pasti akan membuka siasatan,” katanya sebelum memulakan sesi persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Peringatan itu dibuat susulan tindakan Ahmad Marzuk yang mendakwa terdapat percanggahan dalam kos projek penjenamaan semula Tabung Haji (TH) apabila jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menyebut hanya RM5.9 juta, sedangkan dokumen yang didakwa diperoleh beliau menunjukkan jumlah sekitar RM18 juta hingga RM20 juta.

Ramli berkata, pengalaman beliau juga menunjukkan siasatan tetap dijalankan sekiranya dokumen sulit rasmi terbabit sampai kepada pihak berkuasa.

“Pasti 100 peratus, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa akan dipanggil untuk menjelaskan dari mana dokumen itu diperoleh.

“Bawah Akta Rahsia Rasmi, Seksyen 8 dan lebih berat lagi Seksyen 16, beban bukti beralih kepada yang dituduh untuk membuktikan dirinya tidak bersalah. Ini serius,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua Ahli Parlimen supaya tidak memandang ringan isu berkaitan dokumen sulit, sebaliknya memastikan sebarang pendedahan dibuat melalui saluran sah agar tidak bercanggah dengan undang-undang.

Media sebelum ini melaporkan, Ahmad Marzuk beberapa kali mencetuskan kontroversi dalam perbahasan berkaitan penjenamaan semula TH.

Pada 11 Ogos lalu, beliau mendakwa RM20 juta dana pendeposit digunakan untuk projek penjenamaan semula, manakala minggu lalu beliau digantung dua hari oleh Timbalan Speaker, Alice Lau selepas mencetuskan pertikaman lidah dengan Mohd. Na’im ketika perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Dalam penggulungan Isnin lalu, Mohd Na’im sekali lagi menegaskan TH tidak pernah memperuntukkan RM20 juta bagi projek penjenamaan semula sekali gus menafikan dakwaan Ahmad Marzuk.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN