PARIS: Atlet Russia dan Belarus masih tidak tahu sama ada mereka boleh bertanding dalam Sukan Olimpik Paris 2024.
Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) minggu ini mengumumkan kedua-dua negara itu tiada dalam senarai 203 negara yang dijemput menyertai temasya tersebut.
Atlet dari Russia dan Belarus masih boleh dibenarkan mengambil bahagian di bawah bendera neutral, namun IOC belum memutuskan mengenai perkara itu.
“Misi Sukan Olimpik adalah menyatukan seluruh dunia dalam persaingan aman.
“Dalam dunia kita yang rapuh, penuh konflik, perpecahan dan peperangan yang makin meningkat, kita memerlukan kuasa penyatuan ini lebih daripada sebelumnya,” kata Presiden IOC, Thomas Bach.

Atlet dari Russia dan Belarus sebelum ini dilarang menyertai pelbagai acara sukan antarabangsa sejak pencerobohan ke atas Ukraine.
Begitupun beberapa larangan telah dikurangkan seperti kejohanan tenis Wimbledon yang membenarkan pemain negara itu menyertai pertandingan tahun ini selepas menghalang mereka pada 2022.
Olimpik Paris akan bermula pada 26 Julai hingga 11 Ogos, dan ia akan menjadi temasya pertama menyaksikan jumlah penyertaan atlet lelaki serta wanita seimbang.
“Pada Paris 2024, kami benar-benar boleh menantikan kemunculan era baharu Sukan Olimpik.
Sukan Olimpik ini akan menjadi lebih inklusif, muda, lebih bandar dan mampan,” kata Bach.
Temasya itu menyasarkan pengurangan 50 peratus dalam pelepasan karbon berbanding edisi di London (2012) dan Rio (2016). – AGENSI