MANCHESTER: Pemain sayap Algeria, Riyad Mahrez melengkapkan perpindahan dari Manchester City ke kelab Arab Saudi, Al-Ahli dengan kontrak tiga tahun sehingga 2027.
Selepas menyertai City pada 2018, pemain berusia 32 tahun itu meninggalkan juara Eropah tersebut dengan bayaran perpindahan bernilai 30 juta pound (RM175.53 juta).
“Bermain untuk Manchester City adalah satu penghormatan dan keistimewaan.
“Saya datang ke City untuk memenangi trofi dan menikmati bola sepak. Saya telah mencapai semua itu dan banyak lagi.
“Saya mempunyai lima tahun yang tidak dapat dilupakan bersama kelab bola sepak ini, bekerja dengan pemain yang sukar dipercayai, penyokong hebat dan pengurus terbaik di dunia.
“Manchester City akan sentiasa menjadi sebahagian daripada hidup saya,” kata Mahrez dalam laman web City.
Mahrez telah meledak 78 gol dan membuat 59 umpanan dalam 236 penampilan bersama skuad The Citizens.
Dia juga telah memenangi 11 trofi, termasuk lima gelaran liga sejak tiba dari Leicester pada tahun 2018.
Peranan pemain 32 tahun itu untuk skuad kendalian Pep Guardiola semakin kecil musim lalu, meledak 15 gol dalam 47 perlawanan, tetapi terlepas aksi final Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah yang memberikan kejuaraan treble buat City.
Tahun lalu dia memperbaharui kontraknya di Etihad sehingga tahun 2025.
Mahrez akan bergandingan dengan penjaga gol Senegal, Edouard Mendy yang menyertai Liga Pro Saudi dari Chelsea bulan lalu.
City juga mungkin akan melepaskan pemain tengah Portugal, Bernardo Silva yang dikaitkan dengan Al-Hilal. – AGENSI