Kelantan United ikat dua 'oppa'

Kelantan United ikat dua ‘oppa’

KELANTAN United akan diperkuatkan dengan dua import baharu dari Korea Selatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Selepas membawa masuk penyerang Kelantan FC, Ismaheel Akinade dan bekas penjaga gol Kedah, Shahril Saa’ri, Kelantan United terus memperkuatkan pasukan menjelang jendela perpindahan kedua yang dibuka esok dengan memperkenalkan kehadiran dua import dari Korea Selatan.

Kelantan United yang menghuni tangga kedua tercorot Liga Super memperkuatkan bahagian sayap dengan kehadiran Kim Min Kyu dari kelab Liga K4, Pyeongtaek Citizen FC. Pemain berusia 22 tahun itu boleh bermain di sebelah kiri atau kanan.

Seorang lagi pemain adalah Kim Deok, 21, yang bermain di posisi pertahanan dan pernah menyarung jersi kelab Thai League 3, Saraburi United FC.

Pengarah Eksekutif Kelantan United, Wan Zul Ikman Wan Abdul Aziz berharap kehadiran dua pemain tersebut dapat memberi nilai tambah kepada pasukan yang berpangkalan di Kota Bharu itu.

“Kita berharap kedua-dua permain ini akan dapat membantu memperkuatkan pasukan bagi mengharungi baki perlawanan Liga Super dan terus bersaing dalam Liga Malaysia musim ini.

“Pihak kelab melihat kehadiran mereka akan lebih memperkuatkan pasukan untuk terus bersaing dan memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Mengulas lanjut, Wan Zul Ikman turut memaklumkan bahawa kedua-dua pemain berkenaan telah melalui sesi percubaan sejak minggu lepas dan mempamerkan corak permainan yang baik.

Katanya, berpandukan prestasi yang ditunjukkan pada sesi percubaan, Min Kyu dan Deok diyakini mampu memberi sumbangan besar kepada skuad Sang Kijang Hijau.

“Pihak kelab yakin mereka berdua akan menjadi pemain yang penting dalam pasukan dan dijangka dapat membantu meletakkan pasukan kembali ke landasan sebenar,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN